
Seorang pemimpin masyarakat yang enggan dikenali berkata, sebelum ini masyarakat Orang Asli di HSKLU meminta kerajaan negeri mewartakan 250ha tanah sebagai petempatan Orang Asli, namun beliau mendakwa hanya 225.3ha sahaja diluluskan, malah kelulusan itu masih dalam proses.
Bercakap kepada FMT, Tok Batin berkenaan mendakwa hanya enam daripada 14 perkampungan Orang Asli akan diwartakan semula susulan keputusan kerajaan negeri menarik balik keputusan menyahwarta 536.7ha HSKLU pada 8 Sept lalu.
“Selama ini kampung kami diceroboh pemaju, tanah kubur lama dikorek habis, kami sudah buat aduan kepada Pejabat Tanah namun tiada tindakan susulan.
“Sebab itu kami mahu tanah ini diwarta secepat mungkin tetapi ada juga ambil kesempatan buat tawar-menawar. Difahamkan ada enam perkampungan termasuk dalam pelan mewartakan semula, sepatutnya semua 14 kampung harus diwarta bagi mengelakkan kampung kami diceroboh,” katanya yang tidak mahu mendedahkan identiti yang membuat tawaran berkenaan.
Jelas pemimpin Orang Asli di HSKLU itu, hidup mereka tidak akan aman dan sentiasa terancam sekiranya tidak semua perkampungan diwarta sebagai rizab Orang Asli.
“Memang kita akui bukan mudah tetapi itu sahaja cara untuk kita kekalkan kampung Orang Asli. Selagi belum warta selagi itu kami berdepan pencerobohan,” katanya yang turut mengakui kawasan petempatan mereka sebelum ini besar, namun kini semakin dihimpit dan mengecil akibat pembangunan di kawasan sekeliling.
Beliau berkata, Orang Asli di situ bukan menolak pembangunan tetapi kesan buruk akibat pembinaan sekeliling hutan berkenaan menyebabkan tanaman mereka terjejas teruk sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi harian mereka.
“Sekiranya nak bangunkan tanah dan beri manfaat kepada penduduk kampung tak salah tetapi tahap keselamatan kami tak dijaga, ekonomi kami pun tak dibantu,” katanya yang mendakwa pencerobohan tidak terkawal oleh pihak luar menyebabkan kawasan kampung mereka kerap dilanda banjir.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa NGO yang kerap melaungkan nasib Orang Asli supaya turut memperjuangkan nasib perkampungan Orang Asli yang belum diwartakan.
“Dalam hal ini, saya memang berkecil hati dengan NGO, hal hutan simpan banyak buat bantahan tapi situasi yang kami hadapi ini mereka tak bantu, jadi ke mana saya nak mengadu sebab NGO tak bersama dengan kami,” katanya.
Pada 8 Sept lalu, kerajaan Selangor mengumumkan akan menghentikan cadangan pelan pembangunan di kawasan HSKLU dan akan mewartakan semula bahagian hutan yang sudah dinyahwarta.
Daripada seluas 536.7ha yang sudah diwartakan, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan 42.1ha sebagai tanah yang diberikan sebagai pampasan untuk Kampung Orang Asli Busut Baru.
Sementara mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan untuk kekal nyahwarta bagi tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL).
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan tepat keluasan hutan yang akan diwartakan semula sebagai hutan simpan kekal.
Pada 1993, penduduk suku Temuan diminta meninggalkan rumah mereka di Kampung Busut, Sepang untuk memberi laluan kepada pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Mereka dipindahkan sejauh 40km ke Kampung Busut Baru di Kuala Langat dan dijanjikan tanah seluas 404.7ha tetapi belum diberi jumlah penuh yang dijanjikan hingga hari ini.