Varian Delta dominan di Sarawak, kata IHCM

Varian Delta dominan di Sarawak, kata IHCM

Pengarahnya David Perera berkata, kes dengan varian ini meliputi 99% yang menjalani penjujukan genom bagi virus SARS-COV 2 dijalankan oleh IHCM.

David Perera berkata, peningkatan daripada 82% dilaporkan oleh IHCM pada 2 Ogos lepas, menandakan varian Delta adalah varian dominan di Sarawak.
KUCHING:
Varian Delta Covid-19 kini varian dominan di Sarawak apabila 303 kes dikesan daripada 307 kes yang menjalani penjujukan genom setakat 31 Ogos lepas, kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), David Perera.

Beliau berkata kes dengan varian membimbangkan (VOC) ini meliputi 99% daripada kes yang menjalani penjujukan genom bagi virus Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus-2 (SARS-COV 2) yang dijalankan oleh IHCM.

“Ini menunjukkan peningkatan daripada 82% dilaporkan oleh IHCM pada 2 Ogos lepas. Oleh itu menerusi data tersebut menandakan varian Delta adalah varian dominan di Sarawak, ” katanya dalam laporan terbaru beliau kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN) Douglas Uggah hari ini.

Beliau berkata kesemua sampel yang diperoleh institut itu daripada kes-kes di Bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah dan Limbang, selain kes import A (warga asing yang masuk ke Sarawak) adalah positif varian tersebut.

“Dalam pada itu, kes dari Bahagian Sibu dan Kapit mencatatkan 97% (dengan varian Delta) sementara Bahagian Bintulu mencatat kadar pengesanan 98%,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.