Kakitangan PKD Jasin mengaku tak salah 9 tuduhan rasuah

Kakitangan PKD Jasin mengaku tak salah 9 tuduhan rasuah

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh Ab Hanif Ab Hamid, 40, sebagai pegawai badan awam didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan selain memerintahkannya melapor diri dua bulan sekali ke pejabat SPRM negeri. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas sembilan pertuduhan menerima suapan membabitkan nilai lebih RM31,000 pada 2018.

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh Ab Hanif Ab Hamid, 40, sebagai pegawai badan awam didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga sembilan, tertuduh menggunakan kedudukannya bagi mendapat suapan membabitkan permohonan pembekalan pelbagai barangan termasuk mangkuk tandas, alas kaki, cat, racun dan mesin rumput yang semuanya berjumlah RM31,099.50.

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) PKD Jasin antara 4 Julai 2018 hingga 28 Nov 2018, menurut laporan Berita Harian.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikuti Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Ab Hanif mengaku tidak bersalah sejurus semua sembilan pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Elesabet Paya Wan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Syakila Yaacob, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin.

Nur Syakila mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000, dan mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan selain memerintahkannya melapor diri dua bulan sekali ke pejabat SPRM negeri.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 20 Oktober ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.