Isu Pulau Batu Putih: Mahkamah tetap 23 Sept permohonan lanjutan masa kerajaan

Isu Pulau Batu Putih: Mahkamah tetap 23 Sept permohonan lanjutan masa kerajaan

Kerajaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi minggu lalu, memohon tempoh dua bulan untuk mengemukakan pembelaannya.

Mohd Hatta Sanuri berkata kerajaan belum menjelaskan kenapa ia telah menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Antarabangsa berhubung Pulau Batu Puteh. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 23 September untuk mendengar permohonan kerajaan untuk lanjutan masa bagi memfailkan pernyataan pembelaannya, dalam tuntutan difailkan seorang lelaki terhadap Putrajaya berkaitan dengan isu kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Peguam Kanan Persekutuan Erma Wani Ahmad Keflee berkata tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes secara maya di depan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris, hari ini.

Peguam Mohaji Selamat hadir bagi pihak Mohd Hatta Sanuri yang memfailkan saman terhadap kerajaan kerana menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh.

Saman yang difailkan pada 28 Mei itu menamakan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai defendan.

Kerajaan minggu lalu memfailkan permohonan meminta tempoh dua bulan bagi memfailkan pernyataan pembelaan, selepas menerima writ dan pernyataan tuntutan daripada peguam Hatta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Hatta mendakwa kerajaan tidak memberikan penjelasan sehingga hari ini kenapa ia telah menarik balik permohonan semakan berkenaan, walaupun ada bukti baharu menunjukkan kedaulatan Malaysia terhadap pulau yang saiznya separuh keluasan padang bola sepak.

“Amat tidak adil untuk plaintif menarik balik (permohonan itu) tanpa sebab atau penjelasan, seolah-olah isu itu remeh dan boleh dilepaskan atau dilupakan begitu saja,” katanya.

Beliau antara lain memohon defendan memberi penjelasan bagi penarikan balik itu, selain deklarasi bahawa mereka cuai serta melanggar amanah diberikan oleh rakyat Malaysia.

Hatta yang memfailkan saman itu menerusi Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail, menuntut supaya defendan membayar pampasan minimum RM10 juta kepada setiap rakyat Malaysia bagi kehilangan pulau itu.

Beliau juga mahu defendan menyenaraikan amaun dibelanjakan untuk menyiapkan permohonan semakan itu, yang difailkan pada 3 Februari 2017 sehingga ditarik balik pada 1 Jun 2018.

Pada Februari 2017, Peguam Negara ketika itu Mohamed Apandi Ali di bawah pentadbiran BN diketuai Najib Razak, memfailkan permohonan semakan susulan timbul “fakta baharu.”

Selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018, Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai semula kerajaan, menarik balik permohonan berkenaan.

Pulau Batu Puteh yang turut dikenali sebagai Pedra Branca, terletak pada kedudukan 24 batu nautika ke timur Singapura dan 7.7 batu nautika ke selatan Johor.

Pada Mei 2008, ICJ di Hague, Belanda, dalam keputusan majoriti 12-4 memutuskan kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.