Sekatan dilonggarkan namun kadar kematian Covid-19 kekal tinggi

Sekatan dilonggarkan namun kadar kematian Covid-19 kekal tinggi

Dengan kematian Covid-19 harian dicatatkan melebihi 300 hampir sepanjang minggu lalu, menurut Khairy Jamaluddin, ini antaranya berpunca daripada 'tunggakan' laporan.

Kelonggaran sekatan perjalanan menarik ramai orang mengunjungi taman-taman di Putrajaya pada Sabtu. (Gambar Perbadanan Putrajaya)
PETALING JAYA:
Minggu ini menjadi minggu yang sedikit menggembirakan bagi ramai rakyat Malaysia kerana lebih banyak kelonggaran terhadap sekatan Covid-19 diberikan, dengan pawagam akan dibuka semula dan aktiviti sukan di kawasan tertutup dibenarkan dijalankan semula.

Lembah Klang pula beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara mulai Jumaat, hasil peningkatan kadar vaksinasi.

Kini, penduduk yang telah lengkap vaksinasi dapat melakukan perjalanan antara daerah tanpa perlu melalui sekatan jalan raya (SJR), sementara pelancongan domestik turut dibenarkan.

Walau bagaimanapun, jumlah kematian Covid-19 tetap tinggi sepanjang minggu ini, dengan 1,944 kes sejak enam hari lalu. Ini menjadikan angka kematian keseluruhan sebanyak 19,827 orang setakat 10 Sept.

Sebanyak 136,061 jangkitan dilaporkan sepanjang minggu ini, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 1,960,500. Daripada jumlah kes yang dilaporkan sejak tujuh hari lalu, 2,150 berada dalam Kategori 3, 4 atau 5 ketika diagnosis.

Sejak seminggu lalu, sebanyak 150,479 kes dilaporkan pulih, lebih tinggi daripada jumlah jangkitan. Sebanyak 242,161 kes aktif masih menerima rawatan setakat 10 Sept.

Sebanyak 233 kluster Covid-19 baharu dikesan, sementara kadar jangkitan nasional meningkat sepanjang minggu ini daripada R0 bernilai 0.96 Ahad lalu menjadi 0.99 pada Jumaat.

Bilangan pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) juga menurun setelah melepasi paras 1,000 selama lima hari berturut-turut minggu lalu. Pada masa ini, 936 pesakit berada dalam ICU.

Kira-kira 72% orang dewasa di Malaysia telah lengkap vaksinasi, sementara 90.5% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Dari segi populasi keseluruhan, 64.9% telah menerima dos pertama sementara 51.6% lengkap vaksinasi..

Berikut adalah berita-berita utama mengenai Covid-19 sepanjang minggu ini.

Kematian di luar hospital (BID) mencatat rekod

Pada 5 Sept, rekod seramai 107 orang yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah kes kematian di luar hospital (BID).

Mengurangkan angka ini adalah antara keutamaan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam tempoh 100 hari akan datang.

Beliau menyasarkan untuk mencapainya dengan memastikan pesakit-pesakit yang menjalani kuarantin di rumah diawasi oleh petugas kesihatan.

Pada Khamis, beliau berkata, 86% daripada 2, 417 kes BID setakat 31 Ogos tidak dipantau kesihatannya, sama ada oleh Kementerian Kesihatan (KKM) atau fasiliti kesihatan swasta.

‘Tunggakan‘ besar laporan kematian Covid-19

Dengan kematian Covid-19 harian dicatatkan melebihi 300 hampir sepanjang minggu lalu, Khairy menjelaskan bahawa ini antaranya berpunca daripada “tunggakan” laporan kematian.

Disebabkan tunggakan ini, kematian yang dilaporkan kementeriannya setiap hari tidak termasuk kes-kes dalam tempoh 24 jam sebelum itu. Tunggakan itu disebabkan perlunya kepastian sama ada mangsa benar-benar meninggal dunia akibat Covid-19.

Katanya, jumlah kematian Covid-19 harian di Lembah Klang dijangka menurun dalam dua hingga tiga minggu akan datang apabila tiada lagi tunggakan.

Remaja mula mendapat vaksin

Kerajaan mula mengagihkan vaksin Covid-19 bagi remaja pada Rabu, dengan mereka di Sarawak yang pertama menerimanya.

Ia akan diikuti oleh negeri-negeri lain dan wilayah persekutuan yang telah memberi vaksin kepada sekurang-kurangnya 80% populasi dewasa, seperti Labuan, Selangor dan Kuala Lumpur.

KKM akan mula menawarkan vaksin kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun serta mereka yang berusia 12 hingga 15 tahun yang mengalami imunokompromi, sebelum memberi vaksin kepada remaja yang lebih muda secara berperingkat, bermula dengan mereka yang berusia 14 dan 15 tahun, kemudian 12 dan 13 tahun.

Khairy semalam berkata, KKM menjangkakan akan memberi vaksin kepada semua remaja sebelum penggal persekolahan 2022 dibuka pada Januari.

KKM lancar laman web Covid-19

Pada Khamis, Menteri Kesihatan mengumumkan pelancaran https://covidnow.moh.gov.my/ sebagai sebahagian daripada piagam kementerian untuk menjadi lebih telus dan terbuka dengan mendedahkan data granular yang lebih terperinci.

Khairy berkata, laman web itu akan menjadi “sumber kebenaran tunggal” daripada KKM mulai sekarang, dengan laporan Covid-19 harian terkini akan digantikan dengan gaya yang lebih ringkas.

Laman web baharu itu disambut baik warganet dan ahli-ahli politik, yang memuji susun aturnya yang mesra pengguna dan cara ia menyertakan jumlah ujian yang dijalankan setiap hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.