Jet F-16 dikerah namun mundur selepas didapati tiada ancaman, kata Singapura

Jet F-16 dikerah namun mundur selepas didapati tiada ancaman, kata Singapura

Kejadian berlaku pada 9.20 pagi setelah laporan mengenai kemungkinan ancaman diterima, kata Kementerian Pertahanan Singapura.

Singapura berkata, jet F-16 miliknya dikerahkan untuk mengendalikan ‘kemungkinan ancaman udara’ tetapi tidak memberikan perincian sama ada ia melibatkan helikopter polis Malaysia. (Gambar RSAF)
PETALING JAYA:
Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mengerahkan jet pejuang F-16 semalam sebagai tindak balas kepada “kemungkinan ancaman udara” tetapi mundur setelah memastikan keselamatannya tidak tergugat, menurut laporan berita CNA.

Memetik jurucakap Kementerian Pertahanan Singapura, CNA melaporkan, kejadian berlaku pada 9.20 pagi setelah laporan mengenai kemungkinan ancaman diterima.

“Setelah memastikan keselamatan kita tidak terjejas, kami menarik balik pesawat,” jurucakap kementerian memberitahu CNA.

Kementerian itu menjawab pertanyaan CNA mengenai laporan mengenai helikopter polis Malaysia yang didakwa memasuki ruang udara Singapura.

Jurucakap itu tidak memberikan perincian mengenai “kemungkinan ancaman udara”.

“Secara purata, jet pejuang RSAF dikerahkan untuk menyiasat dan menangani 350 kemungkinan ancaman udara setahun,” kata kementerian berkenaan.

Semalam, Bukit Aman menafikan laporan bahawa jet pejuang F-16 dikerahkan oleh Singapura untuk memintas helikopter polis Malaysia yang didakwa memasuki ruang udaranya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali berkata, Singapura tidak memaklumkan mereka mengenai kejadian tersebut.

“Tiada pemberitahuan daripada Singapura bahawa (helikopter polis) memasuki ruang udara mereka,” katanya kepada FMT.

Helikopter itu dikatakan berlepas dari padang yang bertentangan dengan Jalan Yahya Aldatar di Johor Bahru kira-kira 1 pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.