4 ditahan selepas lelaki mati ditetak di depan rumah

4 ditahan selepas lelaki mati ditetak di depan rumah

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kesemua mereka yang berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di Ladang Sepang, di sini pada 9.30 pagi tadi.

Polis berkata, siasatan awal mendapati tiga daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau. (Gambar AFP)
SEPANG:
Polis menahan empat lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Sungai Pelek, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kesemua mereka yang berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di Ladang Sepang, di sini pada 9.30 pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada teman wanita mangsa yang memberitahu mangsa berusia 45 tahun itu ditetak di hadapan rumahnya kira-kira 11.30 malam.

“Semasa mangsa berada di luar rumah kerana mahu muntah selepas mengambil sedikit minuman beralkohol, tiba-tiba datang sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah.

“Dua suspek keluar dari kereta itu dengan seorang daripadanya bertindak menetak mangsa di belakang badan dan kepala, manakala seorang lagi memukul kepala mangsa dengan topi keledar sebelum melarikan diri dengan kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah parang berhulu merah, topi keledar dan kesan darah di atas lantai.

Katanya, selain penahanan empat lelaki itu, pihaknya turut merampas sebuah Proton Iswara dan Perodua Bezza serta empat telefon bimbit.

Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dan semuanya kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.