Tak perlu layanan ‘kayangan’ di masjid, kata Timbalan Menteri

Tak perlu layanan ‘kayangan’ di masjid, kata Timbalan Menteri

Ahmad Marzuk Shaary meminta pengurusan masjid tidak membeza-bezakan layanan kepada individu atau kumpulan tertentu.

Selain memastikan SOP dipatuhi, Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya turut mengingatkan pengurusan masjid supaya mempunyai budi bicara dalam menentukan kehadiran jemaah dan tidak hanya melayani kumpulan tertentu.
KOTA BHARU:
Pihak pengurusan masjid diminta tidak membeza-bezakan layanan kepada individu atau kumpulan tertentu, sebaliknya melayan jemaah yang hadir untuk menunaikan solat di masjid secara sama rata.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, layanan “kayangan” itu tidak seharusnya berlaku dan pihaknya sedang mengenal pasti lokasi seperti dalam video yang tular di laman sosial semalam.

Video berkenaan memaparkan individu dikatakan kenamaan memasuki masjid tanpa menunggu giliran dan ia mengundang kecaman warganet yang mempersoalkan wujudnya dua darjat antara orang kenamaan dan rakyat biasa.

“Pihak yang berhormat menteri agama sendiri telah pun meminta dan memohon penjelasan daripada pihak masjid khususnya di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan insya Allah dalam tempoh sehari, dua lagi perkara ini kita akan selesaikan.

“Saya sendiri pun sebenarnya apabila ke masjid saya beratur, paling penting yang mahu ke masjid perlu pergi awal dan ambil tempat sesuai,” katanya selepas menghadiri program pembahagian sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 25 pengayuh beca menerusi Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Musaadah YADIM-Bank Islam di Dataran Muhammadi, di sini.

Ahmad Marzuk berkata, selain memastikan SOP dipatuhi, pihaknya turut mengingatkan pengurusan masjid supaya mempunyai budi bicara dalam menentukan kehadiran jemaah dan tidak hanya melayani kumpulan tertentu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memperbaharui SOP membabitkan kehadiran jemaah di masjid.

“SOP jemaah di masjid sekarang masih lagi terhad, iaitu dengan hanya jumlah minimum. Kerajaan memandang serius perkara ini dan kita akan sentiasa memperbaharui SOP mengikut kesesuaian.

“Kadar jangkitan Covid-19 juga menjadi antara pertimbangan untuk kita perbaharui SOP bagi membenarkan lebih ramai jemaah dapat hadir ke masjid, namun paling penting sekarang, kadar imuniti kelompok di negara ini perlu dicapai terlebih dahulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.