Kerja di Bukit Tabur dihentikan, tiada kaitan kerajaan negeri, kata MB Selangor

Kerja di Bukit Tabur dihentikan, tiada kaitan kerajaan negeri, kata MB Selangor

Amirudin Shari menjelaskan tiada sebarang kelulusan diberikan kepada mana-mana pihak untuk meneroka kawasan Bukit Tabur di Gombak.

Antara gambar yang dimuat naik pengguna Twitter @Iamkanahraf menunjukkan kerja penerokaan dan sebuah jentera berat berada di kawasan Bukit Tabur. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, aktiviti penerokaan Bukit Tabur di Gombak sudah dihentikan pihak penguatkuasaan dan semua jentera berat terlibat turut disita.

Katanya, hasil semakan lanjut dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Pejabat Daerah dan Tanah Gombak mendapati tiada kelulusan diberikan untuk aktiviti penerokaan di tanah tersebut.

“Untuk makluman, kerja-kerja tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri dan tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan. Pihak penguatkuasa telah turun ke lokasi tersebut untuk menghentikan aktiviti dan menyita jentera yang terlibat,” katanya di Twitter.

Mengenai penguatkuasaan di kawasan Bukit Tabur, Amirudin berkata, PBT mempunyai kekangan dari segi jumlah penguat kuasa yang terhad kerana mereka kini memfokuskan pematuhan SOP di premis dan sebagainya.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan aduan dari orang awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan,” katanya.

Beliau menjawab dakwaan pengguna Twitter @lamkanahraf yang mendedahkan beberapa gambar menunjukkan kerja penerokaan dan sebuah jentera berat berada di kawasan Bukit Tabur.

Individu itu mempersoalkan bagaimana jentera berat boleh memasuki kawasan yang tidak boleh diakses pendaki.

“Salam Dato MB @AmirudinShari, macam mana boleh ada kontraktor sampai ‘the base of Bukit Tabur ridge’? Sepatutnya tiada sebarang pembangunan dibenarkan di Bukit Tabur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.