
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dalam penghakimannya berkata, pengabaian remaja itu menyebabkan tertuduh dibiarkan membuat apa yang dirasakannya terbaik untuk dirinya sebelum mampu membezakan perkara betul atau salah.
“Lebih teruk lagi, keluarganya juga mungkin punca kesalahan itu berlaku,” kata Noor dalam penghakiman bertulis sepanjang 24 muka surat.
Beliau yang mendengar kes itu di Mahkamah Kanak-kanak berkata, tertuduh juvana itu juga tidak menunjukkan sebarang penyesalan atas perbuatannya.
Remaja terbabit mengaku salah ketika dihadapkan ke mahkamah empat bulan lalu. Mahkamah kemudian mendengar rayuan bagi meringankan hukuman yang dikemukakan olehnya serta ibu bapanya.
Remaja berusia 16 tahun sembilan bulan itu didakwa merogol budak perempuan berusia 15 tahun enam bulan pada 17 Disember tahun lalu.
Kejadian didakwa berlaku di kawasan perumahan di Seri Kembangan.
Pemeriksaan perubatan ke atas mangsa mendedahkan dia hamil, namun terpaksa digugurkan akibat kandungan tidak normal.
Pasangan itu bercinta sejak dua tahun sebelumnya dan menjalin hubungan seks di rumah remaja perempuan berkenaan.
Noor berkata, remaja terlibat bernasib baik terselamat daripada hukuman lebih berat disebabkan usianya. Pesalah dewasa dalam keadaan itu berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun dan sehingga 30 tahun, selain sebatan.
“Saya percaya kanak-kanak ini perlu diletakkan dalam persekitaran yang mampu membantu pemulihannya selain menghalang jenayah lain berlaku,” katanya.
Mengambil kira semangat Akta Kanak-kanak 2001, prinsip perundangan dan fakta kes, selain pelbagai nasihat dan laporan dikemukakan kepada mahkamah, Noor berkata, beliau menganggap perintah yang wajar adalah supaya remaja berkenaan dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka, sehingga berusia 21 tahun.
Beliau turut meletakkan syarat tambahan supaya ibu bapa atau penjaganya melawatnya sebulan sekali.
Katanya, laporan akhlak mencadangkan remaja itu dilepaskan dengan jaminan berkelakuan baik kerana dia berhenti sekolah ketika di Tingkatan Dua untuk membantu menambah pendapatan dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ditangkap.
Selain itu dia turut meraih pendapatan RM1,400 sebulan dengan mengutip besi buruk.
Berdasarkan laporan itu, dia tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarganya.
“Jelas daripada laporan ini, kanak-kanak ini dilayan seperti orang dewasa terlalu awal dan tidak bebas menghadiri sekolah.
“Lebih mengejutkan apabila kedua-dua keluarganya dan mangsa membenarkan mereka meneruskan hubungan sehingga mengakibatkan kehamilan dan satu kesalahan berlaku,” katanya.