Pemuda Bersatu kecam KPM benar suspek rogol ambil SPM

Pemuda Bersatu kecam KPM benar suspek rogol ambil SPM

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata bahawa ada harga yang perlu dibayar atas segala perbuatan.

Harris Idaham Rashid
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata keputusan membenarkan pelajar itu menduduki SPM bulan depan menunjukkan KPM gagal mengambil pendirian tegas terhadap kesalahan jenayah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Bersatu mengecam Kementerian Pendidikan (KPM) kerana membenarkan empat pelajar Tingkatan 5 yang ditahan kerana disyaki merogol seorang pelajar Tingkatan 3 di Alor Gajah, Melaka, untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, berkata KPM mengambil pendekatan terlalu terbuka dan terlalu berlembut dengan alasan pendidikan adalah hak untuk semua tanpa mengambil kira keberatan kes secara menyeluruh.

Idaham berkata dengan membenarkan pelajar ini menduduki SPM seperti biasa, seolah-olah selepas terlibat dengan kes rogol semuanya boleh ‘move on’ seperti biasa.

“Sementara itu, mangsa pula menghadapi pelbagai cabaran hidup yang berat seperti trauma, kehilangan maruah dan malu akibat penyebaran video rogol yang dirakam oleh salah seorang daripada suspek.

“Biar kes ini menjadi pengajaran kepada semua bahawa ada harga yang perlu dibayar atas segala perbuatan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pendirian untuk membenarkan empat pelajar ini menduduki SPM pada bulan hadapan juga membuktikan bahawa KPM sekali lagi tidak tegas dalam tindakan terhadap kes jenayah.”

Beliau berkata, pelajar terlibat boleh menduduki SPM di Sekolah Henry Gurney pada tahun berikutnya dan boleh juga meneruskan pendidikan tertiari di sekolah integriti yang tidak bercanggah dengan prinsip pendidikan untuk semua.

Empat suspek itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa berusia 15 tahun pada 2.50 petang, 2 Okt lalu, ketika mangsa dalam perjalanan ke kelasnya untuk mengambil barang yang tertinggal.

Dua daripada suspek dilapor merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit, dan video tersebut kemudian tular di media sosial.

Empat pelajar terbabit direman sehingga 16 Okt bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 375(b) Kanun Keseksaan kerana rogol beramai-ramai.

Harris berkata kes rogol itu, serta peningkatan mendadak kes buli di sekolah-sekolah seluruh negara baru-baru ini, menunjukkan bahawa pelajar masa kini semakin berani melakukan jenayah serius.

Katanya, antara punca peningkatan kes seperti itu adalah kegagalan KPM untuk mengambil pendirian tegas terhadap isu-isu seperti ini.

“Kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah juga sudah mencapai tahap membimbangkan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.