
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Mahkamah, Cindy Mc Juce Balitus, Hakim Elsie Primus membenarkan permohonan itu menurut Seksyen 12(3)(c) Akta Kanak-Kanak 2001 semasa pengurusan kes hari ini, lapor Berita Harian.
Katanya, dalam prosiding hari ini pihak pendakwaan menyerahkan 15 dokumen kepada kanak-kanak pertama, manakala 18 dokumen masing-masing kepada kanak-kanak kedua, ketiga, keempat dan kelima, selaras dengan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Lima dokumen tambahan akan diserahkan kepada semua kanak-kanak pada pengurusan kes pra-perbicaraan seterusnya pada 16 Okt.
“Perbicaraan yang ditetapkan pada 9 hingga 20 Dis 2025 akan berjalan seperti dijadualkan,” katanya selepas prosiding itu selesai.
Memandangkan terdapat perintah larangan (gag order) bagi kes ini, pihak media akan menerima perkembangan prosiding melalui Pegawai Mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan.
Empat daripada kanak-kanak yang dituduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
Seorang lagi kanak-kanak diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.
Lima remaja perempuan itu didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pada 20 Ogos berhubung kes buli melibatkan Zara, 13.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana didakwa menggunakan atau mengeluarkan kata-kata atau komunikasi yang mengancam, menghina atau bersifat kasar.
Zara meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth dan dikebumikan pada hari sama di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang.
Beliau dimasukkan ke hospital sehari sebelum itu selepas ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi berhampiran longkang di asrama sekolahnya di Papar.
Pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan mayatnya digali semula untuk bedah siasat sebelum mengumumkan satu inkues akan dijalankan pada 13 Ogos bagi menyiasat punca kematiannya.