
Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata suspek yang berusia antara 20 hingga 42 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), atas dakwaan menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.
Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan.
Beliau berkata, dalam tangkapan pertama di sekitar sini dua hari lalu anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menahan dua lelaki berusia 30 dan 38 tahun.
“Suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pemberian pinjaman wang tanpa lesen serta membuat ugutan dengan menyimbah cat merah pada kenderaan peminjam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, mengikut laporan Bernama.
Katanya, tangkapan dibuat susulan aduan seorang peminjam yang memaklumkan membuat pinjaman wang tanpa lesen dengan jumlah keseluruhan RM100,000 pada 2019, yang masih belum dijelaskan.
Mohamad berkata, dalam kes kedua polis menahan seorang lelaki berumur 20 tahun di Bandar Baru Nilai, selepas menerima laporan pengadu yang juga ejen pengangkutan, mengatakan dia diganggu oleh pemberi pinjaman wang tanpa lesen.
“Pada bulan April lepas lelaki berumur 32 tahun itu mendakwa telah membuat pinjaman peribadi RM8,000 tetapi hanya RM4,900 dimasukkan dalam akaun banknya.
“Lelaki itu mendakwa keretanya disimbah cat merah disyaki oleh ejen pinjaman berkenaan selepas tidak dapat membuat pembayaran kerana mengalami masalah kewangan pada hujung Jun lepas, dan jumlah pinjamannya itu kini dikatakan bertambah menjadi sebanyak RM20,000,” katanya.
Katanya dua lagi lelaki berumur 42 dan 37 tahun ditahan di Bandar Baru Sendayan kerana dipercayai menjalani kegiatan pinjaman wang tanpa lesen selepas dikesan menggantung kain rentang bagi mempromosi pinjaman wang tanpa lesen, di sini semalam.
“Polis merampas tiga telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Alza, satu tukul besi, 17 keping kain rentang pinjaman wang, 134 keping risalah tertera pinjam wang berlesen,” katanya.
Mohamad berkata, 30 kertas siasatan berkaitan kes pemberian pinjaman wang tanpa lesen dibuka oleh JSJK di negeri ini setakat September tahun ini, dan jumlah itu dilihat meningkat berbanding keseluruhan 31 kes sepanjang tahun lepas dengan 13 individu dituduh di mahkamah.