
Menteri kesihatan itu berkata, pihak kementerian sudah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mempertimbang kebenaran membuka semula industri sukan.
Khairy berkata, berita baik berhubung perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.
“Permintaan @PejaOfPerak untuk ‘outdoor team sports’ adalah wajar. Menteri KBS memang prihatin terhadap sektor sukan. Tadi dibincang dan diputuskan di sidang MKN Covid-19. Berita yang baik akan diumumkan,” katanya di Twitter
Khairy berkata demikian sebagai respons kepada Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu yang bertanya sama ada gimnasium dan sukan padang akan dibenarkan beroperasi semula dengan berkata, perlu ada kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Faizal berkata, sektor sukan itu boleh dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, dengan menambah banyak pengusaha perniagaan industri itu sudah hampir bergelut.
“Panggung wayang dibuka? Gim dan sukan padang? Tolonglah YB @Khairykj, perlu ada kebijaksanaan dalam keputusan kita,” kata Faizal.
Dalam perkembangan sama, Khairy turut memaklumkan bahawa garis panduan pengudaraan (ventilation) buat gimnasium akan dirangka bersama oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN.
“Ini tidak akan mengambil masa yang lama. Namun oleh sebab persekitaran pusat kecergasan tertutup (indoor fitness centres), kami harus menekankan beberapa keperluan pengudaraan tertentu,” kata Khairy
Faizal membangkitkan perkara itu selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam, mengumumkan kerajaan membenarkan pawagam di semua negeri dibuka kepada individu lengkap divaksin dengan 50% kapasiti mulai esok.
Beliau berkata, membenarkan lebih banyak sektor dibuka akan memanfaatkan lebih sejuta penggiat seni dan pekerja industri kreatif, serta lebih 19,000 perniagaan.