Pemuda PKR bidas pemimpin parti N9 cetus konflik, kritik Aminuddin secara terbuka

Pemuda PKR bidas pemimpin parti N9 cetus konflik, kritik Aminuddin secara terbuka

Tindakan amat tidak bertanggungjawab dan tidak cerdik oleh mereka yang mengaku orang lama dalam parti, kata Pemuda.

Ahmad Syukri Ab Razak menyifatkan tindakan mencetuskan kemelut politik ketika rakyat susah akibat Covid-19 sebagai amat tidak bertanggungjawab.
PETALING JAYA:
Pemuda PKR membidas pemimpin parti itu di Negeri Sembilan yang membuat pendirian terbuka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun selaku pengerusi PKR negeri.

Setiausahanya, Ahmad Syukri Ab Razak menyifatkan tindakan mencetuskan kemelut politik ketika rakyat susah akibat Covid-19 sebagai amat tidak bertanggungjawab.

“Banyak perkara yang perlu mereka pertimbangkan, antaranya ialah suasana negara hari ini yang tertekan dengan wabak Covid-19 yang belum selesai.

“Kita perlu faham rakyat tidak boleh lagi dibebankan dengan hal politik yang sudah menjadi krisis besar dalam dua tiga bulan sebelum ini dengan isu perubahan perdana menteri. Hari ini nak tambah pula dengan kemelut politik dalaman PKR yang diheret secara terbuka.

“Saya rasa ini tindakan amat tidak bertanggungjawab dan tidak cerdik oleh mereka yang mengaku orang lama dalam parti,” katanya kepada FMT.

Syukri berkata, pemimpin PKR di Negeri Sembilan tidak sepatutnya menyatakan secara terbuka untuk menolak kepimpinan Aminudin sebagai pengerusi PKR negeri dan ia sepatutnya dibincang secara dalaman.

Ahad lalu, sekumpulan pemimpin PKR negeri termasuk Ketua Penerangan, Yusof Tapar menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin selaku pengerusi PKR Negeri Sembilan dan mendesak rombakan segera dilakukan dalam kepimpinan parti negeri bagi memastikan PKR kekal relevan.

Mereka mendakwa Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Syukri berkata, kebebasan untuk mengkritik pemimpin dalam PKR harus digunakan secara bertanggungjawab.

“Mana-mana anggota parti berhak membuat teguran, berhak menyuarakan kritikan terhadap mana-mana kepimpinan parti kerana PKR parti demokratik, kita memberi ruang kepada anggota untuk bersuara, untuk tegur pemimpin kalau memang pemimpin bermasalah.

“Tetapi kebebasan itu perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, bukan kerana kepentingan peribadi. Sepatutnya guna saluran yang lebih tepat, iaitu secara dalaman bukan terus membawa kepada perhatian terbuka untuk membuat kritikan,” katanya.

Beliau menegaskan tidak timbul isu mengecualikan Aminuddin daripada kritikan atau mempersoalkan kepimpinan beliau.

“Saya tidak meletakkan menteri besar Negeri Sembilan 100% betul, tapi tindakan segelintir kepimpinan PKR negeri membuat kenyataan secara terbuka adalah tindakan salah dan tak tepat kerana mereka masih boleh guna saluran lebih cermat dalam parti,” katanya.

Katanya, gesaan supaya isu kepimpinan dibincang secara dalaman bukan bermaksud untuk menutup kelemahan, sebaliknya masa menyuarakan bantahan secara terbuka tidak sesuai pada saat rakyat sedang susah.

“Bukan PKR tak nak dilihat parti suka bergaduh, PKR memang sentiasa terbuka, tapi apakah sekarang masa sesuai untuk gembar-gembur konflik dalaman PKR kepada rakyat yang diluar sana sedang sibuk dengan masalah Covid-19, masalah ekonomi,” katanya.

Syukri juga mendesak pemimpin parti di Negeri Sembilan yang mencetuskan konflik itu membuat permohonan maaf kepada parti serta menarik balik kenyataan yang dibuat mereka itu.

Negeri Sembilan diterajui kerajaan PH yang mempunyai 20 ADUN, iaitu 11 daripada DAP, enam PKR dan tiga Amanah sementara pembangkang merangkumi 16 ADUN Barisan Nasional (BN), iaitu 15 daripada Umno dan satu MIC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.