Panggung wayang tangguh operasi walaupun dapat ‘lampu hijau’

Panggung wayang tangguh operasi walaupun dapat ‘lampu hijau’

Belum ada SOP penuh, selain ada filem yang masih dalam proses penapisan.

Panggung wayang memerlukan masa untuk membuat persediaan sebelum membuka pintu kepada pengunjung.
PETALING JAYA:
Panggung wayang mengambil pendekatan selamat dengan tidak beroperasi buat masa ini walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk filem ditayangkan di premis berkenaan.

Sebaliknya, mereka memutuskan untuk menunggu sehingga prosedur operasi standard (SOP) penuh dikeluarkan oleh kerajaan.

Selain itu, ada filem yang masih dalam proses penapisan.

Dalam kenyataan, jurucakap Golden Screen Cinemas (GSC) berkata, syarikat itu dimaklumkan Persatuan Pemamer Filem Malaysia bahawa panggung wayang tidak akan dibuka semula mulai esok.

“Buat masa ini kami masih menunggu SOP penuh daripada kerajaan. Tambahan, ada beberapa filem yang masih melalui proses penapisan.

“Susulan itu, GSC akan terus ditutup sehingga dimaklumkan kemudian. Bagaimanapun, sebaik ada maklumat terkini kami akan membuat pengumuman di media sosial.”

TGV Cinemas juga memaklumkan pelanggan bahawa panggung mereka belum beroperasi walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semalam, bahawa ia boleh beroperasi semula esok.

“Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan anda semua dapat menikmati pengembaraan sinematik hebat, jadi kami memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan,” katanya di Facebook.

Ismail semalam mengumumkan panggung wayang di seluruh negara boleh dibuka untuk pengunjung yang menerima vaksin lengkap, dengan pengoperasian 50%, sebagai sebahagian daripada kelonggaran SOP bagi industri kreatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.