
PETALING JAYA: Seorang bekas penolong pegawai tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan bayaran gaji guru kontrak bernilai lebih RM195,000, empat tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh terhadap suspek yang berusia 36 tahun itu.
Menurut laporan Kosmo, reman sehingga Ahad itu adalah bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada 8.35 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM sebelum permohonan reman dibuat lebih satu jam kemudian.
Suspek ditahan 11.45 pagi semalam di Pejabat SPRM Melaka selepas dipercayai terbabit menyelewengkan bayaran gaji guru kontrak terbabit.