Gadis hilang tangan akibat disamun tabah teruskan hidup, tetap semangat mahu bantu ibu cari rezeki

Gadis hilang tangan akibat disamun tabah teruskan hidup, tetap semangat mahu bantu ibu cari rezeki

Siti Nur Azizah Syafriadi, 17, dikatakan langsung tidak menunjukkan kesedihan atau terkejut, malah menerima dengan tenang apa yang berlaku.

Tangan kanan Siti Nur Azizah Syafriadi terpaksa dipotong sehingga paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru selepas disamun tiga suspek bulan lalu.
PETALING JAYA:
Seorang gadis berusia 17 tahun, Siti Nur Azizah Syafriadi yang menjadi mangsa samun sehingga menyebabkan tangan kanannya terpaksa dipotong bulan lalu tetap bersemangat meneruskan hidup dan membantu ibunya.

Abang saudara mangsa, yang enggan namanya didedahkan berkata, Azizah tetap bersemangat mahu membantu ibunya, Roslinawati Ya, 38, membesarkan adik-adiknya.

“Dia cakap dia nak cepat sembuh sebab dia tak nak ibunya seorang diri cari duit besarkan adik-adik. Dalam sakit sibuk lagi nak fikir tolong umi (ibu Azizah) dia berniaga, itulah Azizah yang kami kenal,” kata abang saudara Azizah kepada FMT.

Tambahnya, ketika Azizah dimaklumkan berkenaan tangannya, anak sulung daripada lima beradik itu langsung tidak menunjukkan kesedihan atau terkejut, malah menerimanya dengan tenang apa yang berlaku.

“Dia sangat tabah, masa umi beritahu itu, dia sikit tidak terkejut atau menangis, malah dia reda apa yang telah terjadi,” katanya.

Difahamkan, keadaan Azizah kini sudah semakin baik dan kini telah dibenarkan pulang ke rumah dan sehingga ke hari ini ramai saudara mara serta rakan tidak putus-putus memberi semangat kepada Azizah.

Terdahulu, FMT melaporkan tangan kanan Azizah terpaksa dipotong sehingga paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru.

Pada 26 Ogos lalu, Azizah dan teman lelakinya yang menaiki motosikal Y15ZR telah disamun oleh tiga orang lelaki ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai menghantar makanan kepada pelanggan, kira-kira pukul 12.10 tengah malam.

Suspek difahamkan menendang motosikalnya sehingga menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan, mengakibatkan Azizah cedera di bahu kanan dalam kejadian di Jalan Kuching menghala pusat bandar itu.

Azizah yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) merupakan anak sulung kepada lima orang adik beradik.

Menurut abang saudara mangsa, selepas bapanya meninggal dunia, Azizah yang tinggal di PPR Beringin Jinjang mengambil tanggungjawab membantu menambah pendapatan keluarga dengan menjual dan membuat perkhidmatan menghantar makanan.

Sehingga kini, masih belum ada sebarang penahanan berhubung kejadian samun tersebut walaupun lakaran wajah suspek sudah mula diedarkan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya masih giat mengesan dan mengenal pasti tiga orang suspek yang terlibat menyamun dan menyerang Azizah dan teman lelakinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.