Tiada cadangan kawal agama bukan Islam, kata menteri

Tiada cadangan kawal agama bukan Islam, kata menteri

Ini kerana, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar, rancangan sedemikian memerlukan kelulusan pelbagai negeri terlebih dahulu kerana agama di bawah bidang kuasa mereka.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Putrajaya perlu berbincang dengan pihak berkuasa negeri terlebih dahulu untuk melihat jika mereka bersetuju dengan cadangan kerajaan.
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada cadangan menggubal akta untuk menyekat atau mengawal pengembangan agama bukan Islam yang dibawa ke Kabinet, dan jika ada, ia memerlukan persetujuan negeri terlebih dahulu.

Penjelasannya menyusul kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary semalam yang dilaporkan berkata, rang undang-undang bersabit pengembangan agama bukan Islam adalah sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah selama lima tahun dari 2020 hingga 2025.

Wan Junaidi dalam sidang media hari ini berkata, negeri perlu dirujuk terlebih dahulu kerana agama berada di bawah bidang kuasa mereka.

“Kita perlu berbincang dengan pihak berkuasa negeri untuk melihat sama ada mereka setuju atau tidak.

“Kita tidak boleh membawanya ke Parlimen, kecuali semua negeri bersetuju.”

Semalam, Marzuk dilaporkan berkata, kerajaan bercadang menggubal 11 Undang-undang Syariah utama, termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, serta lapan Undang-undang Syariah subsidiari.

Selain RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, katanya, tiga lagi undang-undang Syariah yang akan digubal adalah RUU Wakaf, RUU Mufti dan RUU Mahkamah Syariah.

“Penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sebahagian daripada pelan pemerkasaan tersebut,” katanya dipetik Harakah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.