Mahkamah kekal tolak saman Maydan Trading terhadap Fazura

Mahkamah kekal tolak saman Maydan Trading terhadap Fazura

Panel tiga hakim menolak rayuan Narhamdan Abd Malek dan mengarahkan beliau membayar kos RM10,000 kepada Nur Fazura Shariffudin.

Fazura dalam penyataan pembelaan difailkan pada 29 Jan 2018 mendakwa beliau tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan perayu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman oleh pemilik Maydan Trading terhadap selebriti Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Shariffudin dan Universal Music Sdn Bhd atas dakwaan melanggar kontrak.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hanipah Farikullah, Azizah Nawawi dan See Mee Chun menolak rayuan Narhamdan Abd Malek dan mengarahkan beliau membayar kos RM10,000 kepada Fazura.

Ketika dihubungi, peguam Fakhrul Azman Abu Hassan, mewakili Fazura, mengesahkan keputusan mahkamah tersebut dan berkata mahkamah memutuskan bahawa tiada pelanggaran kontrak oleh anak guamnya dan Universal Music.

Narhamdan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 Jun tahun lalu yang menolak samannya terhadap pelakon dan penyanyi itu serta Universal Music yang mengurus Fazura.

Narhamdan, yang memiliki dan menjual produk kesihatan iaitu “candy” yang boleh dikunyah dikenali sebagai “Q Tab” untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku memfailkan saman pada 16 Dis 2017 dengan menamakan Fazura, 38, dan Universal Music Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan kedua.

Mengikut terma perjanjian, Fazura sepatutnya memasarkan produk tersebut dalam tempoh enam bulan melalui media sosial, khususnya Instagram milik pelakon itu.

Dalam saman tersebut, Narhamdan mendakwa selebriti itu melanggar kontrak pada penghujung September 2017 apabila Fazura melancar dan memasarkan produk kesihatan dan kecantikan berasingan iaitu “TRUDOLLY TruBeauty” ketika kontraknya masih berkuatkuasa.

Beliau mendakwa pelancaran produk itu mewujudkan persaingan untuk produk “Q Tab” manakala pemasaran produk itu telah diabaikan, menyebabkan beliau mengalami kerugian dari segi jualan.

Oleh itu, Narhamdan, antara lain, menuntut pembayaran balik RM156,000 daripada Fazura dan Universal Music, ganti rugi RM141,755.61 kerana pelanggaran kontrak, faedah dan kos.

Fazura dalam penyataan pembelaan difailkan pada 29 Jan 2018 mendakwa beliau tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan perayu.

Peguam Jefri Jaafar mewakili Narhamdan manakala Universal Music oleh Wilson Lim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.