Kemelut politik N9: Aminuddin akan beri penjelasan kepada PKR Pusat, kata Fahmi

Kemelut politik N9: Aminuddin akan beri penjelasan kepada PKR Pusat, kata Fahmi

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pimpinan pusat parti akan berusaha memahami dengan lebih dekat kemelut itu serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, krisis dalaman PKR Negeri Sembilan akan dibincangkan dalam mesyuarat parti minggu ini kerana ia adalah isu paling terkini membabitkan parti.
PETALING JAYA:
Kemelut politik kepimpinan PKR Negeri Sembilan akan menjadi agenda utama dalam mesyuarat pimpinan pusat parti itu esok, kata pengarah komunikasinya, Fahmi Fadzil.

Beliau menyifatkan pergolakan itu sebagai krisis dalaman parti negeri dan berkata, PKR pusat akan menggunakan “peluang dan ruang” dalam mesyuarat itu bagi memahami dengan lebih dekat konflik itu serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk Negeri Sembilan.

“Ya, krisis Negeri Sembilan akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik kerana ia adalah isu paling terkini membabitkan parti. Aminuddin selaku menteri besar sememangnya akan hadir kerana beliau adalah anggota Biro Politik,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahad lalu, sekumpulan kepimpinan PKR negeri diketuai Ketua Penerangan, Yusof Tapar menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin Harun selaku pengerusi MPN Negeri Sembilan dan mendesak rombakan segera dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Mereka mendakwa Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut Fahmi berkata, kemelut yang berlaku hanya berkisar isu dalaman parti dan tidak berkait dengan kedudukan Aminuddin sebagai menteri besar Negeri Sembilan.

“Saya lihat pentadbiran negeri berjalan dengan baik dan saya tidak lihat sebarang isu (pentadbiran). Mengenai perkara yang dibangkitkan oleh sekumpulan ahli parti negeri, ia hanyalah berkisar kepada isu politik.

“Kita telah minta menteri besar jelaskan keadaan dalam mesyuarat nanti dan cari penyelesaian terbaik untuk Negeri Sembilan,” katanya.

Aminuddin adalah menteri besar kedua daripada PKR yang menjadi perhatian mesyuarat kepimpinan pusat parti itu selepas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dipanggil untuk menjelaskan situasi isu nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara minggu lepas.

Isu itu dijangka sekali lagi menjadi tumpuan dalam mesyuarat pimpinan pusat PKR minggu ini yang akan dipengerusikan oleh presiden parti, Anwar Ibrahim.

Negeri Sembilan ditadbir PH yang mempunyai 20 ADUN, iaitu 11 daripada DAP, enam PKR dan tiga Amanah sementara pembangkang merangkumi 16 ADUN Barisan Nasional (BN), iaitu 15 daripada Umno dan satu MIC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.