
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kenyataan peguam bela Azeez, Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa analisis laporan kewangan oleh SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah.
“Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Azeez telah bebas daripada semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.
“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” katanya dalam kenyataan.
SPRM turut memaklumkan, Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
“Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan semua tuduhan tersebut. Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudian didengar di Mahkamah Rayuan semalam,” katanya.
Semalam, media melaporkan Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa laporan analisis kewangan SPRM sebelum ini membebaskan Azeez daripada tuduhan membabitkan rasuah.
Dalam penghujahan, peguam bela memberitahu di sebalik laporan itu, anak guamnya masih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan projek jalan raya di Kedah dan Perak serta pengubahan wang haram.