Putrajaya salur peralatan perubatan tambahan, sumber manusia kepada Sabah

Putrajaya salur peralatan perubatan tambahan, sumber manusia kepada Sabah

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata peralatan perubatan tambahan itu membabitkan 480 unit silinder oksigen, 24 kotak 'oxygen regulator', dan lima kotak ubat-ubatan Covid-19, selain 29 ambulans tambahan.

Khairy Jamaluddin berkata, sehingga hari ini sebanyak 224 pusat pemberian vaksin (PPV) diwujudkan dengan keupayaan 83,140 suntikan sehari di Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelbagai peralatan perubatan tambahan akan dihantar segera ke Sabah sebagai langkah intervensi lebih holistik dalam berdepan trend peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, peralatan perubatan tambahan itu membabitkan 480 unit silinder oksigen, 24 kotak ‘oxygen regulator’ dan lima kotak ubat-ubatan Covid-19.

“KKM (Kementerian Kesihatan) akan menghantar peralatan tambahan ke Sabah dengan segera melalui Angkatan Tentera (ATM) dan penghantaran ini dijangka tiba pada 7 Sept (esok),” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sabah.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.

Dalam masa terdekat juga Khairy berkata, kementeriannya akan menyediakan modular Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan kapasiti 10 katil di Hospital Tawau, yang dijangka memulakan operasi pada akhir Sept.

Selain itu katanya, sebanyak 29 ambulans tambahan diperuntukkan untuk keperluan hospital di Sabah, bagaimanapun sementara menunggu proses perolehan selesai, KKM akan meningkatkan bilangan ambulans melalui kaedah penyewaan.

“Bagi memastikan penggunaan sumber manusia yang optimum di semua fasiliti kesihatan KKM termasuklah di lapangan, sejumlah 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap telah diarahkan melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 Sept, dan 50 pegawai perubatan tambahan akan ditawarkan pelantikan tetap bermula 13 Sept ini,” katanya.

Sehingga 2 Sept, sebanyak 27 hospital Covid-19 beroperasi di Sabah dengan kapasiti 151 katil ICU Covid-19 dan 1,743 katil bukan ICU.

Sementara itu, sebanyak 31 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) ditubuhkan, manakala empat PKRC tahanan dengan kapasiti 7,143 katil.

Mengulas kapasiti pemberian vaksin Khairy berkata, sehingga hari ini sebanyak 224 pusat pemberian vaksin (PPV) diwujudkan dengan keupayaan 83,140 suntikan sehari.

“Selain meningkatkan aktiviti vaksinasi bagi vaksin CanSino melalui ‘mobile outreach in the hard to reach and difficult areas’ bermula 27 Ogos 2021 sehingga hujung September, melibatkan 180,000 dos,” katanya.

Khairy berkata, 2.89 juta dos vaksin Covid-19 akan dibekalkan ke Sabah bulan ini dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 dos hingga 70,000 dos sehari dan seterusnya mencapai sasaran 60% penduduk divaksin menjelang akhir bulan ini.

“Kita masih berpegang kepada sasaran 60% penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir September ini dan 80% penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir Oktober seperti sasaran nilai ambang ditetapkan.”

Selepas mencapai 80% penduduk dewasa divaksin pada Oktober ini, katanya, Sabah boleh memulakan program pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan remaja, namun ia bergantung kepada pencapaian vaksinasi semasa.

Mengenai keperluan tinggi vaksin dos tunggal CanSino, terutama untuk penduduk di pedalaman Sabah, beliau berkata, Malaysia akan menerima 300,000 dos vaksin itu bulan ini.

“Mengikut jadual, kita akan terima untuk seluruh Malaysia 100,000 dos (vaksin CanSino) minggu depan dan 200,000 dos lagi akhir bulan ini, jumlah 300,000 dos ini disebabkan bekalan tidak mencukupi di peringkat antarabangsa.

“Pada Oktober, kita jangka lebih banyak lagi (vaksin CanSino sampai). Sudah pasti Sabah akan menjadi antara negeri keutamaan untuk vaksin dos tunggal ini.”

Sabah merekodkan 2,136 kes baharu semalam menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri berkenaan sebanyak 159,421.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.