Pelajar Malaysia kemalangan di Kaherah selamat jalani pembedahan

Pelajar Malaysia kemalangan di Kaherah selamat jalani pembedahan

Muhammad Haikal Ahmad Kabir, yang patah tangan kiri dan kaki kanan, bersama empat rakannya yang menuntut di Universiti Al-Azhar cedera dilanggar motosikal Jumaat lepas.

Wakil Duta Besar Malaysia Ke Kaherah mengunjungi Muhammad Haikal di hospital, (Gambar Facebook Education Malaysia Egypt)
KUALA LUMPUR:
Seorang pelajar Malaysia yang patah tangan kiri dan kaki kanan dalam kemalangan jalan raya di Kaherah, Mesir, selamat menjalani pembedahan yang menelan kos EGP100,000 (RM26,000).

Menurut laporan Education Malaysia Egypt menerusi akaun Facebook rasminya pada Ahad, Muhammad Haikal Ahmad Kabir adalah antara lima penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar yang cedera dilanggar motosikal, yang dilaporkan tidak memasang lampu hadapan, semasa melintas jalan dalam kejadian Jumaat lepas.

Haikal yang cedera parah dan rakan-rakannya yang cedera ringan dihantar ke Hospital Bedayat, Hayyu Tahmin, Kaherah untuk rawatan.

“Dia kini dalam proses sembuh dan keluarga kesemua mangsa telah dimaklumkan mengenai perkembangan masing-masing,” kata Atase Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Mohd Yasser Abdul Ghani malam tadi.

Kesemua mangsa berasal dari Kedah.

Mohd Yasser turut menyampaikan penghargaan kepada orang awam di Malaysia yang menyumbang dari segi kewangan bagi membolehkan rawatan mangsa berjalan lancar.

Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan memastikan kebajikan dan bantuan yang diperlukan mangsa dapat diberikan, katanya.

Sementara itu, wakil Duta Besar Malaysia Ke Kaherah Zamani Ismail turut menziarahi mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.