
Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berkata, daripada lima wilayah Air Selangor yang terjejas, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah mencapai pemulihan bekalan air 100%, manakala Hulu Langat 92.6% dan Petaling 81.4%.
“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi,esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini
Elina berkata, Air Selangor berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.
Para pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.