
Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata dalam kenyataan hari ini, MEF menyokong pendirian Menteri Sumber Manusia M Saravanan bahawa majikan berhak mendesak pekerja mereka mendapat vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, beliau menegaskan majikan juga perlu mengambil kira pekerja mereka yang tidak menerima suntikan atas alasan kesihatan yang disahkan pihak berkuasa.
“Majikan perlu memahami ada golongan yang memang tidak boleh diberikan vaksin. Sehubungan itu, majikan terlibat mesti mewujudkan alternatif yang mampu menjadi ‘menang-menang’ untuk kedua-dua pihak,” katanya.
“Kami turut menggesa kerajaan menyediakan pasport khas untuk pekerja yang tidak boleh menerima vaksin atas sebab perubatan, bagi membolehkan mereka terus bertugas. Golongan ini tidak patut didiskriminasi.”
Saravanan semalam dipetik berkata, pekerja yang enggan divaksin boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana mewujudkan persekitaran kerja yang tidak selamat.
Menurutnya, walaupun tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan vaksinasi Covid-19, akta berkenaan yang berkaitan dengan keselamatan di tempat kerja, masih boleh dikuatkuasakan.
“Kita tidak boleh mengambil tindakan jika seseorang tidak disuntik vaksin. Tetapi kita boleh mengambil tindakan kerana persekitaran tempat kerja itu tidak selamat,” katanya dipetik Bernama.