
Beliau berkata, pengenalan semula akta yang dimansuhkan pada 1992 itu menjadi agenda dalam perbincangannya dengan Speaker Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam.
“Langkah ini konsisten dengan apa yang dilakukan oleh institusi Parlimen lain di luar negara,” kata Wan Junaidi dalam kenyataan.
“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menerima cadangan ini secara positif, malah bersedia mengambil peranan utama dalam melaksanakan transformasi di Parlimen kita.”
Satu lagi perbincangan mengenai pembaharuan yang dibincangkan termasuk cadangan mewujudkan undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (disemak semula 1988).
Wan Junaidi berkata, akta sedia ada mesti digantikan kerana ia diwujudkan pada 1952 sedangkan Tanah Melayu berada di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
“Akta sedia ada sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dengan landskap politik pada abad ke-21. Lebih baik memperkenalkan akta baharu yang lebih menyeluruh, inklusif dan lengkap berbanding melakukan pindaan.”
Katanya, mereka turut membincangkan mengenai pindaan terhadap peraturan mesyuarat bagi Dewan Negara dan Dewan Rakyat supaya ia bersesuaian dengan tindakan dan cadangan baharu itu.
“Walaupun terdapat pindaan dibuat dari semasa ke semasa, namun kebanyakan daripada peraturan ini adalah tinggalan daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, yang hanya dipinda pada 1956 untuk kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.
“Ia kemudiannya dipinda pada 1959 untuk mewujudkan asas kepada peraturan mesyuarat Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Bagaimanapun, kebanyakan daripada peraturan ini tidak lagi boleh disesuaikan mengikut keadaan moden di Parlimen.
“Banyak negara-negara Komanwel telah membuat pindaan sewajarnya terhadap prosedur dan peraturan di Parlimen bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa.
“Dalam melaksanakan pembaharuan Parlimen, amat penting untuk kita melakukan lebih banyak pembaharuan dan penambahbaikan terhadap peraturan yang tidak lagi sesuai dengan persekitaran hari ini.”
Katanya, pihaknya bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementeriannya bagi membolehkan perbincangan lanjut mengenai pembaharuan itu dan pelaksanaan segera dilakukan.
“Selepas ini saya akan menghantar laporan mengenai perkara ini kepada Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan.”