
Pengerusi tiga parti komponen gabungan itu, termasuk Amirudin Shari selaku pengerusi PKR Selangor berkata, mesyuarat pagi tadi bersetuju hala tuju dan keputusan dalam isu penyahwartaan hutan simpan itu harus dipertimbangkan semula pada mesyuarat 8 Sept.
“Pengerusi parti komponen PH Selangor komited dalam menjunjung semua prinsip-prinsip asas Pakatan Harapan berkaitan alam sekitar dan agenda kepedulian rakyat sebagai pedoman dan panduan dalam setiap perancangan pembangunan negeri,” katanya, dalam kenyataan bersama Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim.
Sementara itu, mesyuarat sama turut membincangkan bantahan terhadap cadangan projek lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) dan mengambil maklum lebuh raya itu belum diluluskan kerajaan negeri.
“Mesyuarat juga turut bersetuju menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek lebuh raya KIDEX atau seumpama dengannya,” tambahnya.
Pada Rabu, Biro Politik PKR mengesahkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bersetuju menangguhkan keputusan kontroversi untuk menyahwarta 536.7ha atau 54% daripada keluasan 931ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan pembangunan bercampur.
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, Amirudin akan menangguhkan nyahwarta itu sehingga selesai membuat semakan dan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.
Biro Politik menekankan bahawa sebarang keputusan yang dibuat berhubung hutan simpan itu mesti mempertahankan beberapa prinsip asas termasuk kepentingan penjagaan alam sekitar, urus tadbir proses perolehan serta penilaian yang telus, terbuka dan baik, serta kesan penyahwartaan HSKLU terhadap masyarakat amnya yang perlu diminimumkan.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri bersetuju menyahwarta 536.7ha HSKLU untuk dibangunkan.
Bagaimanapun, ia mendapat bantahan ahli-ahli DUN dari kedua-dua belah pihak yang menyifatkan keputusan mengejut itu tidak wajar, malah memusnahkan biodiversiti hutan berusia lebih 120 tahun itu. HSKLU diwartakan pada awal 1920-an.
Perkara itu turut mencetuskan kritikan umum, termasuk daripada kumpulan penyokong Anwar Ibrahim, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN).