
Hakim Lee Heng Cheong berkata, panel hakim berpendapat keputusan Syarikat Takaful Malaysia untuk “menggred semula” Ng Teck Fay daripada jawatannya sebagai penolong pengurus besar (Gred 3) kepada pengurus kanan (Gred 4) dalam pelaksanaan penstrukturan semula dianggap melanggar kontrak pekerjaannya.
Beliau berkata, Ng berhak untuk menganggap dirinya diberhentikan secara konstruktif biarpun dia menerima keputusan syarikat itu.
Hakim berkenaan berkata, sebagai penolong pengurus besar, Ng mengetuai Unit Perniagaan, Tuntutan Keluarga, Kumpulan dan Perubatan.
Apabila Ng diturunkan pangkat beliau berkata, majikan mengambil alih pentadbiran tuntutan perubatan daripada skop tugasnya dan menyerahkan kepada Sharon Ang yang baru sahaja diambil bekerja.
“Ini menyebabkan tanggungjawab pemohon (Ng) dikurangkan. Selain itu, apabila dia diturunkan pangkat kepada pengurus kanan, syarikat turut menarik semula khidmat timbalan pengurus dan penolong pengurus yang sebelum ini melapor kepadanya,” kata Lee dalam penghakiman 32 muka surat yang dikeluarkan minggu ini.
Rayuan itu turut didengar oleh hakim Lau Bee Lan dan Mohd Sofian Abdul Razak.
Lee berkata, akibat diturunkan pangkat, Ng tidak lagi menerima manfaat yang dinikmati sebelum ini apabila ia dikurangkan.
Beliau berkata, pengerusi Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan bahawa seorang pekerja tidak boleh diturunkan pangkat, “menggred semula atau apa sahaja panggilannya”, kepada satu jawatan yang tidak pernah dipegangnya sebelum ini.
“Kita dapati pemohon dalam kes ini berjaya membuktikan bahawa penurunan grednya telah melanggar kontrak pekerjaan dan anggapannya bahawa penurunan gred dan pemberhentian yang dilakukan ini sebagai pemberhentian secara konstruktif, adalah benar,” katanya.
Katanya, panel hakim mendapati terdapat merit dalam rayuannya yang memerlukan campur tangan mahkamah itu dan ia membenarkan rayuan dengan kos berjumlah RM15,000.
Panel hakim turut membenarkan rayuan untuk semakan kehakiman dilakukan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan keputusan Mahkamah Perusahaan ditolak.
Ia memerintahkan Mahkamah Perusahaan mendengar kes itu dan memutuskan pemberian ganti rugi sewajarnya seperti dituntut Ng.
Ng memulakan tugasnya pada 11 April 2008 sebagai penolong pengurus besar dan gaji terakhirnya berjumlah RM17,150.