
Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu berkata, pembatalan pingat emas yang dimenangi atlet tersebut tidak pernah dijangkakan dan difikirkan ketika penggubalan dasar mengenai pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan di temasya sukan utama dunia.
“Tidak kita terfikir perkara itu akan berlaku, iaitu bagaimana caranya untuk kita memberi ganjaran kepada kes seumpama itu. Kes ini agak terpencil, macam masalah pandemik Covid-19 yang pada awalnya tiada negara tahu apa nak buat, begitu juga dengan kes Ziyad.
“Jadi, saya ingin cadangkan kepada Kabinet kemungkinan kita perlu melihat perkara ini kerana ia agak asing dan tidak pernah berlaku,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Nota Serah Tugas Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS.
Selasa lepas, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo, selepas Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94m yang juga rekod dunia baharu.
Beliau diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.
Kontroversi pada hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumumkan sebagai pemenang pingat emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad sejauh 17.29m di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Insiden itu menyaksikan Ziyad terlepas ganjaran RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.
Sebelum ini, beberapa pihak menggesa ganjaran SHAKAM diberikan kepada Ziyad sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan pencapaian beliau di Tokyo.
Sementara itu Faizal berkata, beliau bersama barisan Kabinet mempunyai tanggungjawab kepada kementerian masing-masing dan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.
“Perbelanjaan kementerian, iaitu kerajaan adalah duit rakyat dan kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kami belanjakan,” katanya.
Dalam pada itu, bekas menteri belia dan sukan, Reezal Merican Naina Merican optimis cadangan itu akan disambut baik oleh Kabinet yang turut dibarisi beberapa orang bekas menteri KBS, antaranya Annuar Musa, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.