
Kumpulan berkenaan – Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam (PEKA), Otai Reformis, dan GERAK – berkata keputusan Menteri Besar Amirudin Shari untuk menangguhkan proses penyahwartaan HSKLU “sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbangkan dan menjelaskan kesemua isu” berbangkit mengkotak-katikkan kehendak rakyat.
“Penjelasan yang diberikan oleh Menteri Besar, yang juga telah diterima baik oleh pimpinan PKR, seolah menghina bantahan rakyat Selangor,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Mereka menyorot perhatian kepada kenyataan EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian, bahawa proses penyahwartaan sebahagian HSKLU telah diputuskan pada Mei 2021.
Sedangkan, satu keputusan sebulat suara untuk mempertahankan status hutan simpan kekal di Selangor telah dicapai oleh para ADUN pada sidang Dewan Negeri Selangor 11 Nov tahun lepas.
“Kami juga merasakan sesi pendengaran awam yang diadakan oleh kerajaan negeri…pada 29 Sept tahun lepas hanya ‘melepaskan batok di tangga’ untuk melengkapkan proses meluluskan nyahwarta tersebut,” tambahnya.
Kumpulan berkenaan mahu kerajaan Selangor mewartakan kembali status HSKLU yang telah dilucutkan status ‘hutan simpan kekal’ dalam warta kerajaan 12 Ogos 2020.
Mereka juga menolak cadangan daripada kerajaan negeri untuk menggantikan kawasan yang dinyahwarta itu dengan satu kawasan hutan gambut di Mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam.
Katanya, cadangan itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia mendakwa kawasan seluas 2,400 ekar di hutan itu “juga sedang rancak diteroka” bagi projek kelapa sawit, SMART Agro.
Mereka mendakwa walaupun Jabatan Alam Sekitar pada 15 April mengeluarkan notis henti kerja di kawasan hutan gambut berkenaan, imej satelit pada 24 Ogos menunjukkan “kerja-kerja penerokaan masih berjalan”.