
Menurut seorang peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership yang bertindak bagi pihak SRC, mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan terhadap pembelaan itu selewat-lewatnya 13 Dis ini.
“Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 14 Dis ini secara dalam talian (e-Review),” katanya ketika dihubungi selepas prosiding pengurusan kes hari ini yang dikendalikan dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Noordura Mohamed Din.
SRC, anak syarikat 1MDB dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB), anak syarikat milik penuh SRC, memfailkan writ saman pada 7 Mei lalu mendakwa Najib melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana berkenaan.
Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.
SRC yang kini dimiliki sepenuhnya Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mendakwa melalui satu surat pelantikan bertarikh 3 Sept 2014, SRC melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) (dahulu dikenali Gem Horizon Sdn Bhd) sebagai rakan kongsi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Dakwanya, antara Disember 2014 dan April 2015, SRC mengeluarkan dana berjumlah RM123 juta ke akaun bank IPSB yang kononnya untuk tujuan CSR dan geran diberikan kepada IPSB tanpa kelulusan Lembaga SRC serta GMSB.
Plaintif mendakwa IPSB memindahkan dana yang diterima di bawah geran itu kepada pelbagai pihak ketiga bagi pihak IPSB, termasuk RM42 juta dipindahkan ke dua akaun milik Najib kononnya untuk tujuan CSR antara Disember 2014 dan Februari 2015.
SRC juga mendakwa Najib dalam kapasitinya selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC ketika itu, bertindak secara tidak jujur dalam membantu bekas pengarah SRC dan GMSB melanggar pelbagai kewajipan statutori serta melakukan pecah amanah apabila gagal memeriksa dengan Bank AmIslamic mengenai jumlah dana diseleweng yang dimasukkan ke akaun bank Najib.
Oleh itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plantif berhak mengikuti dan mengesan RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang tersebut atau sebarang harta yang diperoleh Najib menggunakan wang berkenaan, selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.