Polis kesan suspek lakukan ugutan jenayah melalui khidmat kurier

Polis kesan suspek lakukan ugutan jenayah melalui khidmat kurier

Suspek melalui nota ugutan turut mengugut untuk mencederakan mangsa, keluarga serta kawan-kawannya.

Polis berkata, pengadu berusia 29 tahun dan bekerja sebagai jurujual di kedai emas mendakwa menerima mesej berbaur lucah dan ugutan menerusi aplikasi WhatsApp yang daripada nombor yang tidak dikenali.
SHAH ALAM:
Polis sedang mengesan seorang suspek yang melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita untuk menyimbah asid dan membakar rumahnya melalui nota di dalam bungkusan kurier yang dikirimkan ke sebuah alamat di Kampung Saim, Klang dekat sini, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Mohd Khairi Shafie berkata, suspek melalui nota ugutan turut mengugut untuk mencederakan mangsa, keluarga serta kawan-kawannya selain mengirim objek berbentuk tangan dengan kesan cecair merah bersama-sama bungkusan itu.

Katanya, pengadu berusia 29 tahun dan bekerja sebagai jurujual di kedai emas itu juga mendakwa beliau turut menerima mesej berbaur lucah dan ugutan menerusi aplikasi WhatsApp yang dari nombor yang tidak dikenali pada keesokan harinya.

“Pihak polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan telah memanggil pengadu untuk dirakamkan keterangan serta sedang mengesan pengirim bungkusan dan pemilik nombor telefon bimbit yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya menghentikan perbuatan yang tidak bermoral serta menyalahi undang-undang yang boleh mendatangkan kegusaran terhadap masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.