Patriot mahu menteri, timbalan isytihar aset dalam 100 hari

Patriot mahu menteri, timbalan isytihar aset dalam 100 hari

Persatuan veteran tentera itu juga mahu Kabinet terus membanteras rasuah dan memerangi pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Mohamed Arshad Raji berkata, pegawai yang tidak menunjukkan prestasi baik perlu digantikan.
PETALING JAYA:
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) meminta menteri, timbalan menteri serta pegawai lantikan politik mengisytiharkan aset mereka dalam tempoh 100 hari.

Presidennya, Mohamed Arshad Raji berkata, perkara itu adalah antara 10 tuntutan mereka kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Patriot juga mahu kerajaan berhenti melantik ahli politik dalam lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan akses mudah orang ramai kepada semua Ahli Parlimen dan melantik badan profesional bebas bagi menilai prestasi 100 hari menteri dan timbalan mereka.

Beliau berkata, mereka yang tidak menunjukkan prestasi baik harus digantikan.

Katanya, Ismail perlu membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang efektif dan berkebolehan, serta harus mempertimbangkan senarai tuntutan Patriot, jika beliau mengharapkan rakyat bekerjasama dengannya dalam menangani krisis ekonomi, pandemik serta memerangi rasuah.

Arshad berkata, masa adalah kuncinya kerana negara berada dalam cengkaman Covid-19 sejak awal tahun lalu dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan gagal mengurangkan jumlah kes.

Katanya, Ismail perlu mempertimbangkan semua tuntutan Patriot demi ketelusan dan akauntabiliti lebih baik.

“Kami percayai rakyat yang cinta terhadap negara menuntut yang terbaik daripada menteri dan timbalan menteri.

“Mereka tidak lagi mahu bertolak ansur dengan individu ‘tidak berguna’ dan berprestasi lemah yang biasa berlaku dalam pentadbiran terdahulu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.