
Menyebut kadar positif yang tinggi dan peningkatan kes sporadik, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin berkata, pendekatan FTTIS kerajaan sebelum ini adalah antara “strategi salah” yang digunakan dalam melawan pandemik Covid-19.
“Dengan bilangan ujian yang tidak mencukupi dan kaedah pengesanan yang primitif, agak mustahil untuk mengasingkan kes positif secara berkesan bagi mencegah penularan dalam komuniti, kata bekas menteri tenaga, sains, teknologi, persekitaran dan perubahan iklim itu dalam hantaran di Facebook.
“Oleh kerana kerajaan merancang untuk membuka kembali ekonomi ketika menguruskan penularan Covid-19, ia tidak boleh bergantung kepada vaksinasi semata-mata. Strategi pelbagai serampang diperlukan dan pelaksanaan FTTIS yang berkesan semestinya adalah salah satu daripada elemen paling penting yang perlu ditambah.
“Gesaan kita supaya tindakan memperbaiki FTTIS ini disuarakan sejak lebih setahun lalu namun tidak diendahkan. Saya berharap menteri kesihatan yang baharu dilantik akan bersikap lebih terbuka terhadap cadangan dan mengambil tindakan.”
Beliau turut menunjukkan lampiran kadar purata positif di beberapa negeri bermula 11 hingga 26 Ogos dan satu carta menunjukkan peratusan kes sporadik yang dikesan bermula 1 Julai hingga 15 Ogos.
Yeo berkata, semua negeri dan Wilayah Persekutuan, kecuali Labuan, mempunyai kadar positif melepasi penanda aras 5% yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 10 negeri melebihi 10%.
Empat negeri – Kedah, Kelantan, Sabah dan Selangor – mempunyai peratusan melebihi 15%.
Katanya, kadar positif yang tinggi menunjukkan negara “kurang melakukan ujian” terhadap populasi dan walaupun kes positif harian adalah tinggi namun banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.
Menurut Yeo, mekanisme pengesanan kontak di Malaysia hampir dilakukan secara “manual sepenuhnya” sementara negara lain yang berjaya mengawal penularan virus menggunakan analisis data yang lebih baik dan canggih untuk membolehkan pengesanan kontak rapat dilakukan dengan lebih menyeluruh.
Katanya, peningkatan kes sporadik – daripada 50%-60% daripada kes keseluruhan sejak awal tahun ini kepada 90% sekarang – secara jelas menunjukkan sistem ujian dan pengesanan sedia ada “tidak berupaya” mengesan corak penularan virus.
Minggu lalu, Dr Jemilah Mahmood berkata, strategi FTTIS adalah kelemahan utama negara dalam melaksanakan strategi pengurusan pandemiknya.
Jemilah yang juga bekas penasihat khas mengenai kesihatan awam kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata, strategi ujian negara diperlukan untuk mencegah penularan kecil ketika negeri-negeri mula membuka semula aktiviti ekonomi.