
Beliau berkata, semua pihak sedia maklum anggota tentera wajib mengambil vaksin atas dasar kumpulan itu hidup secara berkelompok.
“Tetapi saya difahamkan kalau sarjan berkenaan sanggup divaksin saya percaya TDM akan pertimbangkan untuk beliau diserap semula bertugas tetapi keputusan itu diserah kepada individu berkenaan dan keputusan itu mesti dibuat oleh TDM,” katanya pada sidang media.
Hishammuddin berkata demikian ketika ditanya status Wan Ramly selepas dipecat kerana enggan menerima vaksin.
Beliau berkata, ATM menggunakan pelbagai kaedah termasuk memujuk bagi menyakinkan anggotanya untuk divaksin.
“Kalau mereka tidak divaksinasi, mereka menjadi pembawa risiko bukan sahaja kepada diri tetapi ahli keluarga dan masyarakat,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila sehingga kini 99.86% anggota ATM sudah menerima satu dos vaksin manakala mereka yang lengkap dua dos sudah mencapai 99% manakala ahli keluarga yang sudah menerima dos pertama 92.7%, dos kedua (88.63%,). Selain itu, 100% warga Mindef telah menerima dos pertama manakala 81.06% sudah menerima dos kedua.
Wan Ramly sebelum Ini mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan selepas ingkar arahan menerima vaksin.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain memaklumkan anggota yang dipecat kerana menolak vaksin Covid-19 akan dipertimbangkan untuk diserap semula jika dia bersedia menerima suntikan vaksin itu.
Katanya, tindakan memecat itu tidak dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya dibuat mengikut peraturan demi menjamin keselamatan semua pihak.
Beliau berkata, keputusan menamatkan perkhidmatan anggota kerana enggan divaksin itu dibuat selepas sesi kaunseling beberapa kali gagal mengubah pendiriannya.