Kemuka bukti tentera dibayar untuk undi, Hishammuddin beritahu Anwar

Kemuka bukti tentera dibayar untuk undi, Hishammuddin beritahu Anwar

Hishammuddin Hussein berkata, Anwar Ibrahim sepatutnya menyerahkan bukti kepada SPRM untuk disiasat.

Hishammuddin Hussein berkata, dakwaan Anwar Ibrahim itu menimbulkan kemarahan anggota tentera. (Gambar Bernama)
SUNGAI BULOH:
Menteri Pertahanan sementara, Hishammuddin Hussein mahu Anwar Ibrahim mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa berhubung dakwaannya anggota tentera di Bera, Pahang, mengundi awal untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan dibayar RM300 berbuat demikian.

Ini kerana katanya, kenyataan presiden PKR itu yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) semalam memaklumkan beliau mempunyai bukti berhubung dakwaan tersebut dan akan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dia (Anwar) kata sudah ada bukti dan sepatutnya dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Pemimpin di sini.

Beliau turut menjelaskan proses undi pos adalah kebiasaan buat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas dan tidak dapat hadir pada hari pengundian.

“Takkan nak letak maruah, integriti tentera setakat RM300, kenyataan dia (Anwar) menimbulkan kemarahan dalam warga ATM.

“Undi pos perkara biasa, masa mereka menang PRU14 ada undi pos, tetapi nak tuduh anggota kita menerima RM300 untuk apa tujuannya, sampai hari ini tidak jawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.