
Wanita berusia 60-an yang juga pesara kerajaan itu dihubungi seseorang yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans bulan lalu, yang mendakwa tuntutannya sebanyak RM48,000 sudah diluluskan dan dibayar ke akaun bank tempatan miliknya.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat, berkata mangsa yang menafikan pernah membuat tuntutan dan memiliki akaun bank itu kemudiannya dipindahkan panggilan kepada seorang individu lain dipercayai menyamar sebagai anggota polis.
“Individu terbabit kononnya ingin membuat semakan identiti mangsa dan meminta mendedahkan semua butiran akaun bank dimiliki mangsa seperti nombor akaun, nombor kad mesin juruwang automatik (ATM) serta baki akaun.
“Panggilan itu kemudiannya disambung kepada ‘pegawai atasan’ yang memperkenalkan diri sebagai Tuan Chong dan mendakwa terdapat waran tangkap terhadap mangsa kerana terbabit dalam satu kes jenayah pengubahan wang haram bernilai RM2.18 juta.
“Bagi memudahkan ‘siasatan’ dan mengelakkan ditangkap, Tuan Chong mengarahkan mangsa memindahkan semua wang yang dimilikinya ke satu akaun bank yang dibuka di sini,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Shafien berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas ke cawangan bank dan memeriksa baki akaun pada pagi 30 Ogos lalu dan mendapati wang sebanyak RM418,000 sudah dipindah keluar ke akaun bank milik pihak ketiga tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.
Menurutnya, mangsa terus membuat laporan polis dan kes kini dalam siasatan kerana kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun.
“Penipuan jenayah telekomunikasi seperti Macau Scam sering mendapat liputan meluas di media massa dan media sosial tetapi masih ada individu yang terpedaya dari pelbagai peringkat umur serta latar belakang.
“Taktik yang digunakan suspek sentiasa bertukar seperti sebelum ini kerap menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak mahkamah, polis dan terkini wakil insurans,” katanya.