Pembangunan Taman Rimba Kiara: DBKL dibenar buat rayuan

Pembangunan Taman Rimba Kiara: DBKL dibenar buat rayuan

Mahkamah tertinggi itu berkata, DBKL, pemaju dan Yayasan Wilayah Persekutuan kini boleh meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Januari lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada DBKL dan dua pihak lain berhubung projek pembangunan dekat Taman Tun Dr Ismail.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak lain meneruskan rayuan mereka untuk mengembalikan rancangan membangunkan Taman Rimba Kiara.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed membenarkan permohonan DBKL dan pemaju untuk merayu selepas mendengar penghujahan peguam B Thangaraj yang mewakili Datuk Bandar dan Gopal Sri Ram mewakili pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd serta Cecil Abraham untuk Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau turut mendengar penghujahan peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Keputusan kami sebulat suara. Dengan mengambil kira fakta kes ini, kami bersetuju dengan pemohon (DBKL, YWP dan Memang Perkasa) yang isu berkaitan locus standi, kesan Pelan Struktur KL, tanggungjawab untuk memberi alasan dan konflik kepentingan adalah persoalan undang-undang yang penting.”

Azahar berkata, pendengaran penuh untuk menyuarakan isu itu dan keputusan seterusnya oleh mahkamah tertinggi akan memanfaatkan orang ramai.

Hakim lain yang bersidang bersama Azahar adalah Zaleha Yusof dan Rhodzariah Bujang.

Awal tahun ini, penduduk TTDI berjaya membatalkan perintah pembangunan yang dikeluarkan Datuk Bandar pada 13 Julai 2017.

Cadangan pembangunan itu ialah untuk membina blok pangsapuri 29 tingkat dengan 350 unit rumah mampu milik serta lapan tingkat kemudahan parkir.

Projek itu akan dilaksanakan pemaju hartanah Memang Perkasa dan YWP, yayasan yang dipengerusikan menteri Wilayah Persekutuan.

Pada 27 Jan lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk memihak kepada penduduk TTDI dalam semakan kehakiman mereka atas alasan terdapat “kekhilafan boleh dirayu yang mewajarkan campur tangan mahkamah.”

Keputusan itu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi pada 28 Nov 2018 untuk menolak permohonan penduduk.

Terkilan dengan keputusan Mahkamah Rayuan, DBKL, YWP dan Memang Perkasa memohon kebenaran untuk merayu kepada mahkamah tertinggi itu.

Terdahulu, Thangaraj berhujah Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya mengenai permohonan penduduk.

“Kami menyatakan kami bertindak mengikut Peraturan 5(3) Peraturan-peraturan Perancangan (Pembangunan) untuk mengadakan pendengaran awam bagi mendengar bantahan penduduk terhadap mana-mana cadangan pembangunan itu.

“Kami juga tidak perlu mengemukakan sebarang laporan teknikal kepada penduduk bagi tujuan bantahan mereka. Ia berlawanan prinsip undang-undang untuk melakukannya.”

Sri Ram pula memberitahu mahkamah, pihak berkuasa tempatan tiada kewajipan untuk memaklumkan keputusan mereka kepada penduduk, jika undang-undang tidak mengkehendaki mereka berbuat demikian.

“Nampaknya ada keputusan bercanggah dalam kes undang-undang sebelum ini berkaitan proses PBT membuat keputusan dan keputusan akhir Mahkamah Persekutuan diperlukan untuk menjelaskannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.