
Bercakap dalam sidang media, beliau berkata ini akan dilakukan sebaik pendekatan Covid-19 negara beralih kepada menangani virus berkenaan sebagai satu endemik.
“Buat masa ini kami tidak mewajibkan vaksinasi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, perbincangan akan diadakan bagi menangani wabak sekiranya masih ada kumpulan yang enggan mendapat suntikan vaksin tanpa memiliki alasan perubatan.
“Antara isu dibincangkan termasuk ‘dasar ujian saringan kebangsaan.’ Sebaik memasuki fasa endemik (pengurusan Covid-19), anda perlu membuat ujian kendiri dengan kerap, sama ada sudah divaksin atau tidak.”
Katanya, mereka yang enggan mendapatkan vaksin mungkin perlu mematuhi ujian saringan secara berjadual.
Katanya, walaupun vaksinasi belum diwajibkan buat masa ini, kerajaan menggalakkan syarikat menetapkan peraturan supaya kakitangan divaksin lengkap sebelum datang bekerja.
Beliau sekali lagi menggesa mereka yang belum divaksin tanpa alasan kesihatan supaya berbuat demikian.
“Saya belum sampai peringkat mahu mencadangkan Kabinet mengeluarkan mandat, namun tidak menolak kemungkinan itu.”
Sementara itu, satu ciri akan diwujudkan dalam MySejahtera bagi mereka yang tidak dapat melengkapkan vaksinasi atau menerima suntikan atas sebab perubatan.
“Asalkan ada pengesahan doktor bahawa individu itu tidak dapat melengkapkan vaksinasi atau menerima suntikan vaksin, dan ia dipaparkan dalam MySejahtera, kami akan mewujudkan SOP yang bersesuaian bagi golongan ini.”
Sementara itu, Khairy berkata bekalan vaksin adalah mencukupi untuk September dengan 15.16 juta dos diperuntukkan untuk negeri-negeri.
Negeri yang paling banyak menerima vaksin adalah Sabah (2.9 juta dos), Johor (1.9 juta), Kedah (1.3 juta), Kelantan (1.2 juta), Pahang (1.4 juta), Perak (1.6 juta) dan Pulau Pinang (1 juta).