Kenang jasa anak Johor pereka bentuk bendera kebangsaan

Kenang jasa anak Johor pereka bentuk bendera kebangsaan

Mohamed Hamzah, yang telah meninggal dunia pada 1993, memenangi pertandingan mereka bentuk bendera kebangsaan ketika berusia 29 tahun.

Walaupun Mohamed telah tiada, hasil kerjanya masih berkibar di tiang bendera atau bumbung, pada perarakan dan upacara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiap Ogos, ketika bendera kebangsaan menghiasi setiap bangunan, kediaman dan kenderaan di seluruh negara, tidak ramai yang mengenang anak kelahiran Johor yang menciptanya.

Mohamed Hamzah, yang ketika itu baru berusia 29 tahun, diraikan sebentar, kemudian “hilang” daripada pandangan umum.

Namun, sebagai arkitek di Jabatan Kerja Raya, beliau meninggalkan hasil kerjanya pada reka bentuk bangunan-bangunan terkemuka di negeri kelahirannya.

Mohamed tidak berapa dikenali sebahagiannya berpunca dari dirinya sendiri, menurut adiknya, Abu Bakar. Mohamed yang meminta peranannya dalam penciptaan bendera kebangsaan dirahsiakan, katanya.

Mohamed Hamzah.

Abu Bakar berkata, beliau memungkiri janjinya setelah melihat terlalu ramai cuba menuntut penghargaan atas reka bentuk bendera tersebut.

Penciptaan bendera kebangsaan dicetuskan oleh keputusan politik untuk mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, yang menggabungkan semua negeri dan koloni British di Semenanjung Tanah Melayu.

Sebuah bendera diperlukan untuk menjadi lambangnya, dan sebuah pertandingan dianjurkan pada 1947 untuk mereka bentuk bendera kebangsaan.

Orang ramai dijemput mengundi reka bentuk yang paling disukai daripada senarai pendek Majlis Perundangan Persekutuan.

Tiga reka bentuk disenarai pendek, dengan penyertaan Mohamad diisytiharkan sebagai pemenang. Reka bentuk beliau lain daripada apa yang kemudiannya dikibarkan sewaktu Merdeka, kerana ia menampilkan jalur-jalur biru dan putih, dengan ruang berwarna merah berisi bulan sabit kuning dan bintang lima segi.

Daripada reka bentuk ini, jalur-jalur ditukar kepada warna merah dan putih, mirip bendera Syarikat Hindia Timur, ruang merah dijadikan biru, iras bendera negeri Johor, manakala enam segi lagi ditambah kepada bintang lima segi yang asal untuk melambangkan 11 negeri dalam Persekutuan baharu berkenaan.

Bendera Persekutuan yang baharu dikibarkan buat pertama kalinya di istana Sultan Selangor pada 16 Mei 1950. Reka bentuk bendera ini dipinda lagi pada 1963 dengan pembentukan Malaysia, dan pada 1997 dinamakan Jalur Gemilang atas ilham Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Sejarawan Kamdi Kamil berkata “apa yang dilakukan Mohamed adalah satu pencapaian besar. Beliau mencipta simbol Malaysia”.

Beliau berusaha memastikan Mohamed mendapat pengiktirafan sepatutnya menerusi bukunya, “Mohamed Hamzah: Perekacipta Jalur Gemilang”.

“Pada pendapat saya, beliau seharusnya dikurniakan gelaran ‘Tun’ atas hasil kerjanya,” kata Kamdi.

“Persatuan Sejarah Johor juga pernah berkata perkara yang sama, tetapi setakat ini, tiada ada yang dilakukan.”

Mohamed dikenali sebagai “Mohamed Arkitek” atas reka bentuk bangunannya, termasuk Dewan Jubli Intan, Menara Mahkota, Masjid Jamek Mersing, pejabat pos Johor Bahru dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru, serta banyak masjid dan bangunan kerajaan lain di seluruh Johor.

Beliau banyak kali diiktiraf atas reka bentuknya menerusi anugerah-anugerah, termasuk Pingat Jubli Intan Sultan Ibrahim dan Pingat Kerana Lama dan Baik dalam Pekerjaan.

Namun, beliau tidak pernah menikmati pujian umum, hanya puas bekerja sebagai pereka perabot di sebuah syarikat di Johor Bahru dan mereka bentuk logo untuk syarikat-syarikat lain, termasuk kicap Habhal.

Beliau meninggal kerana asma di Kuala Lumpur pada Februari 1993, ketika berusia 74 tahun, dan kematiannya tidak begitu disebut.

Abu Bakar cuba menempa kedudukan Mohamad dalam sejarah, dengan bantuan Jabatan Kerja Raya di Johor Bahru dan Yayasan Warisan Johor, dan mereka berjaya mendapatkan reka bentuk asal yang ditandatangani Mohamed sendiri.

Walaupun Mohamed telah tiada, hasil kerjanya masih berkibar di tiang bendera atau bumbung, pada perarakan dan upacara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.