
Beliau berkata, berdasarkan maklumat disampaikan kepadanya, kes itu berlaku pada 2012 hingga 2016 dan bukan sahaja berlaku di Selangor malah di “peringkat atasan”, namun enggan menyebut identiti pihak berkenaan.
“Dari mana datangnya kes ini? Ia datang daripada siasatan kes lagi besar, saya nak bagi tahu, bukan di Selangor sahaja. Dia bermula dengan satu kes melibatkan kartel projek lebih RM3.08 bilion di “peringkat atas” sana. Tuan-tuan boleh rujuk la dia atas sana, saya tak mahu sebut di sini.
“Kemudian ada yang terbabit itu ada kaitan dengan mereka ini (pegawai tinggi kerajaan Selangor), dikhuatiri mereka ini terlibat dan ditahan untuk siasatan namun sampai sekarang tiada lagi pendakwaan,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
Bagaimanapun, Amirudin berkata kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa dan meminta semua pihak memberi ruang supaya tidak menjatuhkan hukuman terlalu awal.
“Sebab itu kena bersikap adil, kita bukan nak pandang mereka hina sebab lakukan rasuah dan sebagainya tetapi tunggulah bila mereka dibuktikan bersalah…selagi belum terbukti kita kena bagi ruang mereka membela diri dan bagi mereka ruang untuk pertahankan,” katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam beberapa siri siasatan mulai April hingga Julai lalu menahan beberapa pegawai tertinggi kerajaan Selangor antaranya pegawai daerah dan bekas timbalan yang dipertua majlis perbandaran yang kini setiausaha bahagian di sebuah agensi negeri.
Turut ditahan kontraktor yang dikatakan menjadi dalang dan dipercayai bersekongkol dengan beberapa pegawai kerajaan negeri untuk membolot projek bernilai jutaan ringgit.
Perkara itu turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita dengan pembabitan pegawai kerajaan di Selangor dengan kegiatan rasuah.
Baginda bertitah, darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor kepada pegawai kerajaan dan ahli politik terbukti rasuah akan ditarik balik.