
Beliau berkata, laporan EIA dua projek itu yang sudah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya untuk penilaian.
“Laporan ini juga boleh diakses melalui laman sesawang JAS dan juga majlis perbandaran sungai petani Kedah (MPSPk). Selain itu, laporan EIA juga boleh disemak secara fizikal di JAS Putrajaya, JAS Negeri Kedah dan juga MPSPk,” katanya dalam satu kenyataan.
Sanusi, berkata laporan untuk projek berkenaan disediakan berdasarkan akta serta peraturan yang ditetapkan jabatan teknikal dan disokong oleh pelan strategik konsep kejuruteraan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan perbadanan bekalan air Pulau Pinang (PBAPP) yang dilaporkan pada 23 Ogos lalu antara lain menyebut cadangan projek KXP tidak harus menjejaskan bekalan air ke Pulau Pinang yang diperoleh dari Sungai Muda.
Katanya, keseluruhan aspek alam sekitar dikaji dengan teliti dengan pelbagai metodologi saintifik telah digunakan untuk memastikan kesemua impak terhadap alam sekitar diambil kira dalam kajian itu.
“Berdasarkan impak alam yang sekitar yang telah dikenal pasti, langkah-langkah mitigasi telah dicadangkan berdasarkan best management practices (amalan pengurusan terbaik) yang terdapat dalam sektor industri sekarang supaya air sungai dan alam sekitar tidak terjejas serta dapat mengekalkan status quo.
Berdasarkan Laporan EIA, timbunan tanah, simen dan pasir adalah sumber pencemaran kepada sungai jika terdapat sesebuah pembangunan terletak berhampiran dengan laluan air,” katanya.
Bagaimanapun, Sanusi berkata langkah mitigasi telah pun disyorkan dalam laporan EIA untuk memastikan penggerak projek ataupun pihak kontraktor tidak menyebabkan pencemaran terhadap aliran sungai yang berdekatan.
Selain itu, katanya kualiti air Sungai Muda juga dijangka tidak akan terjejas kerana kolam dan pagar kelodak akan dibina di sepanjang kawasan yang bersempadan termasuk dalam zon penampan dengan Sungai Muda.
“Jarak paling hampir zon pembangunan lapangan terbang dengan Sungai Muda adalah sejauh 550 meter berbanding dengan garis panduan yang mana zon penampan minimum yang diperlukan adalah sejauh 50 meter sahaja dari tebing sungai,” katanya.