Maut ‘dimakan’ taji ayam sendiri ketika bersabung

Maut ‘dimakan’ taji ayam sendiri ketika bersabung

Mangsa maut akibat pendarahan teruk disebabkan luka selepas diserang ayamnya sendiri.

Aidi Ismail berkata lelaki berusia 42 tahun itu disahkan meninggal dunia semasa berada di Hospital Bintulu. (Gambar Bernama)
BINTULU:
Seorang lelaki meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius akibat terkena taji ayam miliknya di sini semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang semasa aktiviti sabung ayam di sebuah ladang sawit persendirian di KM34, Jalan Bintulu-Miri dekat sini.

“Semasa melakukan aktiviti sabung ayam di tempat tersebut, seorang pemain telah diserang oleh seekor ayam miliknya sendiri dan telah terkena taji ayam yang dipasang pada kaki ayam tersebut menyebabkan dia mengalami luka di bahagian kaki dan pendarahan yang banyak.

“Lelaki yang berusia 42 tahun itu disahkan meninggal dunia semasa berada di Hospital Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan daripada itu Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu telah membuat tangkapan terhadap enam suspek yang disyaki terlibat dalam kes terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952/Seksyen 269 Kanun Keseksaan selain disiasat di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.