
Dengan kadar insidens 95.5 kes per 100,000 penduduk (purata tujuh hari) setakat semalam, negeri itu mengatasi Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM).
Chow berkata, hospital kerajaan memfokuskan kes Covid-19 yang serius dan nazak sekali gus memaksa mereka menolak pesakit yang mengalami gejala lebih ringan.
Menurutnya, walaupun ramai telah menyumbang katil, mesin oksigen dan peralatan perubatan namun tidak cukup doktor, pakar serta jururawat untuk merawat pesakit.
Chow berkata, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin patut membawa lebih ramai kakitangan perubatan dari negeri yang kurang terjejas ke hospital awam di Pulau Pinang dan mengarahkan hospital swasta mengasingkan 30% katil mereka untuk pesakit Covid-19.
Menurutnya, pesakit perlu dipindahkan segera dari hospital awam ke kemudahan perubatan swasta, malah hotel juga telah digesa mengubah suai bilik penginapan mereka menjadi pusat kuarantin risiko rendah.
Buat masa ini terdapat 70 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 876 katil bukan kritikal di negeri itu, yang semuanya dipenuhi pesakit Covid-19 di hospital kerajaan.
“Peningkatan kes dalam dua minggu lalu membelenggu sistem penjagaan kesihatan kita. Hospital kini memfokus dalam mengurangkan jumlah kematian untuk mengelak sistem penjagaan kesihatan terus terjejas.
“Ketika Lembah Klang mengalami lonjakan kes, Pulau Pinang telah menghantar kakitangan untuk membantu.
“Kementerian Kesihatan kini patut menghantar lebih ramai kakitangan ke utara terutama Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.
Chow turut menafikan spekulasi bahawa saringan besar-besaran di negeri itu sejak dua bulan lalu yang menyumbang kepada bilangan kes tinggi. Sebaliknya katanya, ia kurang daripada suku kes berkenaan.
Beliau turut menggesa lebih banyak vaksin dihantar ke Pulau Pinang supaya vaksinasi penuh golongan dewasa dapat dicapai pada hujung Oktober.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Kesihatan Awam) Dr Rafidah Md Noor berkata, mereka yang tiada gejala atau menunjukkan gejala ringan diminta kekal di rumah sehingga mendapat arahan lanjut daripada Jabatan Kesihatan.
Katanya, hospital di negeri itu kini hanya akan menerima kes lebih serius.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ma’arof Sudin berkata, lebih banyak katil diperlukan dengan peningkatan kes Kategori Tiga, Empat dan Lima di negeri itu. Susulan itu, katanya hospital biasa turut dikhususkan untuk pesakit Covid-19.
Katanya, mereka yang mengalami gejala boleh menghubungi 04-382 7142 atau 04-382 7143.
Pulau Pinang kini mempunyai 9,333 kes aktif dengan 565 kematian. Bilangan kes tertinggi direkodkan pada 28 Ogos lalu dengan 2,078 kes manakala 1,000 kes harian direkodkan sejak awal bulan ini.
Ma’arof berkata, terdapat 1,646 pesakit di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19, manakala 7,687 menjalani pemantauan di rumah. Menurutnya, kebanyakan kes adalah sporadik (38.7%), disusuli kontak rapat (36.5%) dan 24.8% adalah daripada kluster.