5 cara perbaiki SOP kuarantin kendiri di Sarawak, cadang Ahli Parlimen

5 cara perbaiki SOP kuarantin kendiri di Sarawak, cadang Ahli Parlimen

Dr Kelvin Yii berkata antara cadangan utama adalah meningkatkan bilangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di kawasan berlakunya penularan (zon merah).

Dr Kelvin Yii berkata, kerajaan dan Kementerian Kesihatan harus mengeluarkan nasihat kuarantin di rumah yang “jelas dan komprehensif”.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mencadangkan lima cara untuk memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) kuarantin kendiri di Sarawak dengan alasan bahawa peraturan sedia ada tidak mencukupi dan boleh meningkatkan jangkitan dalam komuniti.

Ini susulan peningkatan kes Covid-19 di Sarawak akibat penularan varian Delta dan kurangnya kemudahan pusat kuarantin, terutamanya di Kuching.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, antara cadangan utama adalah meningkatkan bilangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di kawasan berlakunya penularan (zon merah), dan melakukan integrasi teknologi dalam pelaksanaan penilaian secara maya khususnya bagi pesakit Kategori 1 dan 2.

“Ini akan memastikan pemantauan awal dapat dilakukan terhadap semua kes positif, mengurangkan kesesakan di CAC, mengurangkan sentuhan fizikal dan membolehkan CAC memberi fokus terhadap pesakit bergejala dan lebih teruk,” katanya dalam satu kenyataan.

Yii berkata, kerajaan dan Kementerian Kesihatan harus mengeluarkan nasihat kuarantin di rumah yang “jelas dan komprehensif”.

“Usaha mesti dilakukan untuk meningkatkan usaha mendidik orang ramai mengenai SOP kuarantin di rumah dan menerbitkannya dalam semua media dan bahasa supaya difahami semua,” katanya.

Katanya, tenaga kerja untuk pusat panggilan di CAC juga harus ditambah dan talian bantuan sokongan.

“Talian utama sukar untuk dihubungi dan ada yang cuba menghubungi selama beberapa jam tanpa dijawab,” katanya.

Yii berkata, kerajaan negeri harus menyediakan kit kepada semua yang menjalani kuarantin di rumah, termasuk pelitup muka, termometer, oximeter dan kit ujian air liur.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri mesti menggunakan teknologi untuk pelaksanaan dan pemantauan yang lebih baik terhadap mereka yang menjalani kuarantin di rumah bagi memastikan individu terbabit tidak melanggar perintah.

“Pemantauan yang berterusan dan pemeriksaan secara rawak harus dijalankan terhadap semua agensi bagi memastikan mereka tidak keluar dan mendedahkan orang lain kepada jangkitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.