PGA ambil alih aset AKSEM di Kelantan mulai 1 Okt

PGA ambil alih aset AKSEM di Kelantan mulai 1 Okt

101 anggota polis yang berkhidmat di dalam agensi berkenaan di negeri itu juga akan diserapkan ke dalam PGA.

Komander Briged Tenggara PGA Hasan Basri Ahmad Safar berkata dengan pembubaran itu juga pejabat AKSEM di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang akan diserahkan kepada PGA. (Bernama pic)
KOTA BHARU:
Semua aset termasuk kenderaan dan bangunan milik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Kelantan bakal diambil alih oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) mulai 1 Okt ini susulan pembubaran agensi itu oleh kerajaan, baru-baru ini.

Komander Briged Tenggara PGA Hasan Basri Ahmad Safar berkata susulan itu 101 anggota polis yang berkhidmat di dalam agensi berkenaan di negeri itu juga akan diserapkan ke dalam PGA.

Beliau berkata dengan pembubaran itu juga pejabat AKSEM di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang akan diserahkan kepada PGA.

“Setakat ini anggota polis di dalam AKSEM akan diserapkan ke dalam satu kompeni Batalion Ke-8 PGA yang berpangkalan di Pengkalan Chepa.

“Kita berharap segala proses akan berjalan dengan sempurna bagi melancarkan dan memperkasa penugasan anggota di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya ketika ditemui di Kem Batalion Ke-8 PGA Pengkalan Chepa hari ini.

Hasan Basri berkata penugasan AKSEM di tiga sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Lalang Pepuyu di Tanah Merah, Neting di Pengkalan Kubor serta Chabang Empat Salam di Rantau Panjang juga akan diambil alih oleh PGA.

Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan AKSEM yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan manakala tugas agensi tersebut diambil alih sepenuhnya oleh polis.

Dengan pembubaran itu PGA akan meneruskan semua fungsi AKSEM di sempadan negara menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.