
Khamis mencatat rekod 24,599 kes dan jumlah kematian tertinggi, iaitu 393, manakala kes pulih turut mencapai paras tertinggi baharu, iaitu 22,657 kes.
Sebanyak 150,224 jangkitan dilaporkan sepanjang minggu, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,401,160. Daripada jumlah kes yang dilaporkan sejak tujuh hari lalu, 147,069 berada dalam Kategori 1 dan 2 ketika diagnosis.
Jumlah kematian sepanjang minggu lalu dicatatkan sebanyak 1,866 kes, menjadikan jumlah kumulatif 15,802. Sebanyak 140,690 kes pulih, sementara 268,548 kes aktif masih menerima rawatan.
Sebanyak 229 kluster Covid-19 baharu dikesan, sementara kadar kebolehjangkitan kebangsaan (R0) turun sedikit kepada 1.01 pada Jumaat, berbanding 1.03 pada awal minggu.
Dalam nada yang lebih positif, jumlah pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) menurun bawah 1,000 pada Khamis dan terus menurun secara perlahan kepada 986 kes setakat semalam.
Setakat ini 61.1% daripada populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi, sementara 81.5% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
FMT mengimbau tajuk utama berita mengenai Covid-19 sepanjang minggu.
Situasi Covid-19 memburuk di luar Lembah Klang
Walaupun situasi di Lembah Klang bertambah baik disebabkan kadar vaksinasi yang pantas, negeri-negeri lain menyaksikan lonjakan jangkitan dan kematian sepanjang minggu apabila virus terus menular ke seluruh negara.
Sabah, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Pahang dan Perlis mencatatkan jangkitan tertinggi pada minggu ini. Kecuali Kedah dan Johor, negeri-negeri ini sudah beralih keluar daripada fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kematian juga meningkat di Johor dan Sabah, dengan Sabah mencatat 41 kematian pada 27 Ogos.
Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, jumlah kematian meningkat dua kali ganda sejak Aidiladha, mungkin disebabkan penularan varian Delta.
Hospital Pulau Pinang melaporkan 100% penggunaan katil ICU berikutan peningkatan kes.
KJ dilantik menjadi Menteri Kesihatan
Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini menyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), diberi tanggungjawab menjadi Menteri Kesihatan dalam Jemaah Menteri dibentuk Ismail Sabri Yaakob.
Beliau bertukar portfolio dengan Dr Adham Baba yang mengambil alih Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Langkah ini disambut baik oleh para pakar kesihatan, yang memuji cara Khairy menguruskan PICK.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, program vaksinasi akan dijalankan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sementara MOSTI akan fokus kepada penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan vaksin Covid-19.
Cetusan jangkitan Covid-19 dalam kalangan Orang Asli
Ahad lalu, seorang aktivis Orang Asli menyuarakan kebimbangan mengenai lonjakan jangkitan dan kematian dalam komuniti berkenaan sejak sebulan lalu, dengan kes meningkat lebih 10 kali ganda.
Walaupun terdapat 19 kematian Covid-19 membabitkan Orang Asli pada 20 Julai, penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli Colin Nicholas berkata, 27 orang lagi telah meninggal dunia sejak itu.
EXCO Selangor Hee Loy Sian berkata, lebih satu pertiga daripada 393 Orang Asli dikesan positif Covid-19 dalam program saringan bersasar yang diadakan di tiga kampung di negeri ini.
China akan beri dos penggalak kepada golongan berisiko tinggi
Pada Jumaat, China bersetuju untuk memberi dos penggalak kepada mereka yang berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti Covid-19, termasuk petugas kesihatan, warga emas dan individu dengan sistem imun yang lemah.
Mereka yang mengembara ke kawasan-kawasan berisiko tinggi di luar negara juga akan layak mendapatkan dos penggalak.
Dos ketiga vaksin akan diberikan enam bulan setelah menerima dos kedua.
Zheng Zhongwei, ketua pasukan petugas penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19 China, memetik kajian yang menunjukkan tindak balas imun lebih baik dengan dos penggalak.
Namun bagi Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keutamaan diberi kepada memberi vaksin kepada lebih ramai orang sebelum mempertimbangkan pemberian dos penggalak.