
Perkara itu disahkan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali menerusi Facebook beliau sebentar tadi.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di atas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi.
“Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan,” katanya.
Zuki berkata, pemergian Ahmad Sarji yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merupakan kehilangan besar buat negara.
“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata selaku bekas Ketua Setiausaha Negara, Ahmad Sarji cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam, bahkan komited menyumbang idea dan kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun setelah bersara.
“Sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-raja, Allahyarham juga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara.
“Justeru, pemergian Allahyarham yang bagi saya adalah seorang negarawan, merupakan satu kehilangan besar buat negara. Jasa bakti Allahyarham akan terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sampai bila-bila,” katanya di Facebook.
Beliau turut mendoakan seluruh keluarga Ahmad Sarji tabah menghadapi dugaan berkenaan.
Pada 7 Ogos lalu, media melaporkan Ahmad Sarji dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras akibat komplikasi Covid-19.
Beliau adalah Ketua Setiausaha Negara ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad dari 1990 hingga 1996.