‘Tak disentuh’, Kementerian Dalam Negeri perlu lakukan pembaharuan serius, kata aktivis

‘Tak disentuh’, Kementerian Dalam Negeri perlu lakukan pembaharuan serius, kata aktivis

Beberapa pihak menggesa kementerian itu meneliti beberapa perkara menerusi menteri dan timbalannya yang masih dikekalkan.

Kerajaan mesti memandang serius mengenai isu layanan terhadap migran.
PETALING JAYA:
Tanpa sebarang perubahan terhadap Kementerian Dalam Negeri selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan Jemaah Menterinya hari ini, pihak berkepentingan menggesa satu pembaharuan yang serius dilakukan terhadap pasukan polis dan imigresen.

Dalam pengumuman menerusi siaran televisyen, Ismail mengekalkan Hamzah Zainudin sebagai menteri bersama Ismail Mohamed Said dan Jonathan Yassin sebagai timbalan.

K Ganesh, peguam mewakili keluarga A Ganapathy yang meninggal dunia di hospital selepas berada dalam tahanan polis selama beberapa bulan berkata, Hamzah mesti melakukan pembaharuan yang serius dalam mengawal pasukan polis yang “di luar kawalan”.

“Satu badan perlu diwujudkan untuk mengawal pasukan polis,” katanya kepada FMT.

“Mereka bertindak seolah-olah kebal dan tidak boleh disentuh, kami melihatnya berkali-kali. Polis boleh bersikap biadab dengan orang, menganiaya orang namun tidak ada yang bertanggungjawab.”

Ganesh berkata, sebuah badan yang sama seperti digariskan dalam Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) harus ditubuhkan dengan kuasa memanggil polis yang disiasat.

“Ia tidak boleh menjadi lemah. Badan itu mesti mempunyai kuasa untuk menyita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) apabila berlaku kematian dalam tahanan sebagai contoh, atau memanggil ketua polis daerah untuk disoal siasat jika berlaku kematian dalam tahanan mereka.”

Adrian Pereira, pengarah Inisiatif Utara-Selatan berkata, kerajaan mesti memandang serius isu layanan terhadap migran.

“Perlu ada moratorium penangkapan dan penahanan migran sehingga tercapainya kadar vaksinasi yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, kementerian itu harus menyerahkan peranannya mengenai kemasukan buruh kepada Kementerian Sumber Manusia kerana kuasa membenarkan kemasukan dan fungsi sebagai agensi penguat kuasa menimbulkan konflik kepentingan dan boleh menyebabkan penyalahgunaan kuasa.

Pengarah program Family Frontiers Melinda Anne Sharlini pula berkata, kementerian perlu memberi perhatian segera untuk mengkaji semula undang-undang berhubung keluarga dengan ibu bapa yang mempunyai kewarganegaraan berbeza.

“Kementerian mesti menangani ketidaksamaan interpretasi undang-undang kewarganegaraan Malaysia, terutama dalam memastikan wanita negara ini tidak dinafikan hak untuk mendapatkan kewarganegaraan untuk anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.